Thursday, May 10, 2007

Tiada kompromi guru kuasai ICT

Membestarikan pendidik buka mata masyarakat ke tahap lebih tinggi

Bersama Pengarah Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran, Noor Rezan Bapoo Hashim

PEMBESTARIAN adalah antara agenda utama Kementerian Pelajaran dalam memperkasakan sistem pendidikan negara ke arah mewujudkan status sekolah bestari semua sekolah seluruh negara menjelang 2010. Apakah usaha bahagian sekolah bagi merealisasikannya?

Kami di Bahagian Sekolah tidak akan berkompromi dalam memastikan kira-kira 320,000 guru dilengkapkan dengan kemahiran teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT). Kerajaan sedia membelanjakan berbilion ringgit bagi memastikan semua guru dilengkapi kemudahan berkenaan kerana ia penting sebagai tuntutan arus pembangunan sejagat. Sebelum kerajaan bercadang membestarikan semua sekolah seluruh negara, perkara penting yang perlu diberi perhatian serius adalah membestarikan semua gurunya. Guru perlu lebih inovatif dan bertanggungjawab memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan lancar menerusi penggunaan ICT. Mereka tidak boleh mengharapkan kaedah pembelajaran tradisi dengan hanya bergantung kepada buku teks dan bahan rujukan bercetak. Kegagalan menguasai ICT tidak boleh diterima kerana kerajaan sudah menyediakan peruntukan besar bagi memastikan semua guru mencapai tahap penguasaan penggunaan ICT memuaskan.

Adakah arus pembangunan ICT kini turut menyumbang kepada tuntutan supaya guru perlu bergerak seiring dengan perubahan berkenaan?

Jika guru gagal menguasai ICT, mereka akan ketinggalan. Penguasaan ilmu berkenaan penting kerana ia adalah nilai tambah yang perlu ada bagi setiap individu untuk membolehkan proses P&P dilaksanakan lebih berkesan. Kebanyakan alat bantuan mengajar kini dilengkapi kemudahan ICT. Guru tidak boleh lari daripadanya dan perlu bagi mereka menguasai pengetahuan berkenaan. Semua keperluan serta kemudahan sudah disediakan. Ia terpulang kepada guru itu sendiri untuk merebutnya dalam meningkatkan kemahiran diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tambahan selaras keperluan masa kini.

Adakah langkah mengarahkan guru mengikuti program pembestarian menambahkan lagi beban tugas sedia ada di samping tanggungjawab hakiki sebagai pendidik di sekolah?

Saya tidak nampak perkara ini satu bebanan. Malah guru terutama di kalangan guru muda kini begitu bersemangat mengikuti program ICT. Kesungguhan mereka terbukti apabila masing-masing sanggup menggunakan wang saku sendiri membeli komputer riba untuk kegunaan harian. Walaupun kementerian ada menyediakan kemudahan itu, jumlahnya agak terhad dan mereka terpaksa berkongsi. Bagi guru yang benar-benar berminat, mereka sanggup berkorban dan membelinya untuk keperluan peribadi serta dibawa ke sekolah untuk membantu proses P&P. Saya secara peribadi begitu kagum dengan guru yang mempunyai semangat untuk terus maju kerana mereka yakin kemajuan diperoleh itu bukan untuk diri sendiri malah dapat dikongsi bersama.

Adakah pemberian elaun bagi guru yang perlu mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ini wajar?

Elaun 10 peratus daripada gaji pokok guru yang mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ini, amat wajar. Mereka perlu melengkapkan diri dengan penguasaan bahasa Inggeris sepenuhnya di samping mampu mengendalikan peralatan ICT ketika proses P&P berlangsung. Pemberian elaun itu sebagai imbuhan tambahan kerana guru terbabit terpaksa membuat persiapan awal sebelum memulakan kelas. Tugas mereka bertambah. Mereka perlu mahir dalam penggunaan ICT, di samping perlu lebih inovatif bagi memastikan mereka dapat menyampaikan pelajaran secara lebih interaktif. Setakat ini seramai 120,000 guru sudah menjalani program ICT bagi kursus Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Program yang dikendalikan Time System Intergrator Sdn Bhd (TSI), anak syarikat Time Engineering Bhd (Time) membabitkan empat fasa iaitu fasa kedua hingga kelima, bermula Oktober 2003. Maklum balas mendapati, semua yang terbabit dapat memanfaatkan pengetahuan berkenaan untuk melancarkan proses P&P. Bagi menjayakan program itu saja, kerajaan sudah membelanjakan sejumlah RM1.5 bilion merangkumi kos pengurusan, pengendalian program dan pembelian perkakasan ICT.

Adakah usaha sedemikian membantu kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan dalam usaha memartabatkan profesion perguruan?

Guru seperti penjawat awam lain. Mereka memerlukan sokongan moral untuk terus maju. Tidak kira di mana mereka bertugas sekalipun, termasuk pedalaman, pengetahuan menguasai ICT ini penting. Penguasaan ini menuntut mereka mempelbagaikan kaedah mengajar supaya ia lebih interaktif. Penggunaan ICT adalah antara kaedah terbaik mewujudkan suasana pembelajaran lebih selesa. Ia mewujudkan komunikasi dua hala antara murid dan guru. Pengetahuan mengendalikan perkakasan ICT memberi kredit kepada mereka. Keadaan pendidikan ini lebih holistik. Guru era kini sudah jauh berbeza berbanding 30 tahun lalu. Sebaliknya, arus teknologi sekarang menuntut mereka untuk mempelajari ilmu baru bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar, seiring arus pembangunan masa kini. Guru serba boleh mempunyai nilai tinggi. Kesungguhan mereka membuka mata masyarakat dan membawa mereka ke tahap lebih tinggi sebagai penyandang kerjaya murni mendidik anak bangsa.

Adakah usaha membestarikan guru mendapat sokongan swasta?

Sepanjang tempoh 10 tahu lalu, kementerian dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC) berjaya mewujudkan 88 sekolah bestari seluruh negara dan model itu, akan dijadikan penanda aras kepada 10,000 sekolah seluruh negara membabitkan lima juta pelajar. Kami di bahagian sekolah begitu bernasib baik kerana usaha murni ini mendapat sokongan swasta terutama daripada Time, Advance Micro Devices (AMD) dan syarikat telekomunikasi Maxis. Malah baru-baru ini, syarikat berasaskan ICT Advanced Micro Devices Export Sdn Bhd (AMD) menyediakan teknologi bersepadu dalam mengemas kini Sistem Maklumat Murid (SMM) menerusi teknologi Thin Client (SMM Thin Client). Sejak kerajaan mengumumkan usaha membestarikan sistem pendidikan dalam melonjakkan kecemerlangannya, banyak syarikat tampil menyediakan bantuan sama ada dalam bentuk kepakaran atau perkakasan. Selain itu, menerusi program sekolah angkat membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), antara agenda utama penaja adalah memperkemaskan sistem pengurusan makmal komputer di setiap sekolah bantuan mereka. Sokongan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) juga begitu membanggakan dengan masing-masing sedia menghulurkan pelbagai bentuk bantuan jika permohonan itu menjurus ke arah membestarikan warga sekolah.

Adakah teknologi SMM Thin Client membantu mengemas kini pelajar pelbagai peringkat di seluruh negara?

Sistem ini boleh dipantau pada pelbagai peringkat pengurusan. Bermula dengan pengurusan data murid pada peringkat sekolah, ia dilaksanakan secara dalam talian terus ke Pejabat Pendidikan Daerah sebelum ke Jabatan Pelajaran Negeri. Ia seterusnya dikemaskinikan terus ke Kementerian Pelajaran. Buat masa ini, teknologi SMM Thin Client hanya membabitkan 10 sekolah iaitu di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Menjelang 2008, dijangka ia dapat mengemaskini maklumat lima juta pelajar seluruh negara. Majlis pelancaran SMM Thin Client diadakan di salah satu 10 sekolah rintis Sekolah Kebangsaan Jalan Enam Bandar Baru Bangi, Bangi, baru-baru ini.

Bagi melaksanakannya, kementerian sudah meluluskan peruntukan awal berjumlah RM18 juta dan dana ini akan ditambah dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan. Sistem pangkalan data ini perlu dibangunkan secara menyeluruh kerana kejayaannya mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membestarikan sekolah dan mengangkat kecemerlangan sistem pendidikan negara. Teknologi ini membantu mengurangkan 90 peratus tugas guru dalam menyelaras sistem maklumat murid. Penggunaannya dapat mengurangkan kos dari segi penyelenggaraan komputer peribadi sekolah dan guru penyelia akan dilantik untuk tujuan itu. Ia membantu meningkatkan kaedah pungutan data. Berbanding kaedah pengurusan data sebelum ini, guru hanya dapat mengemas kini data murid pada waktu lapang dan kemudian dieksport kepada pegawai data untuk digabungkan. SMM Thin Client ini membolehkan guru datang ke makmal dan memantau data murid menerusi pangkalan data sedia ada dan pada masa sama mereka boleh mengemas kini sistem berkenaan dalam sistem sedia ada.

Adakah kementerian yakin semua data lima juta pelajar dapat dikemaskinikan dalam tempoh satu tahun mulai sekarang?

Usaha itu pasti berjaya. Keyakinan ini bersandarkan kepada kesungguhan semua pihak melaksanakannya. Sokongan kementerian menerusi peruntukan, manakala pihak swasta pula menyediakan teknologi canggih supaya semua maklumat data dapat dikemas kini. Tugas guru pula memastikan segala maklumat yang dimuatkan itu adalah terkini. Penyelarasan itu akan dipantau dari semasa ke semasa dan semua pihak akan memastikan ia menjalani proses kajian impak. Hasil kajian itu akan dijadikan penanda aras kepada kejayaan aplikasi berkenaan. Tidak dinafikan penggunaan awal kaedah ini membantu mengurangkan bebanan tugas. Penanda aras kejayaan projek rintis 10 sekolah ini akan diguna pakai untuk semua kira-kira 10,000 sekolah seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman dan luar bandar, malah sistem maklumat secara dalam talian ini akan membentuk laman webnya sendiri. Kejayaan awal SSM Thin Client ini akan dibawa ke mesyuarat pengurusan untuk tindakan susulan. Usaha berterusan ini pastinya mampu mengemas kini semua data pelajar seluruh negara dalam satu sistem dalam talian yang lebih komprehensif.

Mengapa kementerian memperkenalkan SMM, apakah kepentingannya dalam meningkatkan keberkesanan sistem pendidikan negara?

Sistem ini sudah diwujudkan sejak sekian lama, namun kaedah pengumpulannya berbeza. Dulu ia dimuatkan dalam buku laporan murid yang perlu dikemaskinikan dari semasa ke semasa dan kaedah manual digunakan, sekali gus menambahkan lagi tugas guru. Maklumat itu kemudian diinput dalam komputer menerusi sistem simpanan menggunakan disket. Setiap kali guru hendak mendapatkan maklumat murid, mereka akan membuka disket. Perubahan teknologi menjadikan urusan mengemas kini pelajar semakin mudah. Segala maklumat diperoleh dalam talian menerusi sistem lebih teratur. Guru hanya perlu memasukkan data pelajar dan maklumat mengenainya diperoleh seperti bantuan diterima murid melalui Program Makanan Tambahan, Projek Susu Sekolah, Skim Baucar Tuisyen, malah kegiatan ko-kurikulum pelajar juga dimuatkan dalam satu fail.

Selain memudahkan, sistem ini juga melancarkan urusan terutama jika pelajar berkenaan mengemukakan permohonan ke institusi pengajian tinggi tempatan. Segala maklumat diperoleh secara terus. Pengurusan data murid secara bersepadu ini juga mencerminkan keupayaan kepemimpinan pengetua dan guru besar dalam membudayakan penggunaan komputer sekolah. Dengan pelaksanaan sistem ini, pentadbir dan kementerian boleh mendapatkan maklumat terkini dengan lebih cepat dan tepat.

Berita Harian

No comments: