Tuesday, May 22, 2007

Sekolah Kluster


LATARBELAKANG - Penubuhan Sekolah Kluster terkandung dalam Bab 9 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang telah dilancarkan pada 16 Januari 2006. Pewujudan Sekolah Kluster adalah berdasarkan pendekatan kedua PIPP iaitu untuk mengembangkan sepenuhnya potensi sekolah dalam kluster kecemerlangan yang mekanismenya dinyatakan dalam Teras Strategik Ke-6, Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan. Tinjauan literatur menunjukkan bahawa amalan mengelompokkan sekolah dilaksanakan di luar negara untuk peningkatan kualiti pendidikan. Pengelompokan yang dilaksanakan di luar negara adalah berasaskan lokaliti ataupun kecemerlangan.

DEFINISI
Sekolah kluster ialah satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti cemerlang dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Pewujudan sekolah kluster bertujuan melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia dan membangun sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kluster yang sama dan sekolah lain di luar klusternya.

TUJUAN
Sekolah Kluster diwujudkan bagi melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia.

PELAKSANAAN
Terdapat tiga jawatankuasa yang ditubuhkan bagi melaksanakan konsep sekolah kluster. Jawatankuasa tersebut ialah;

  • Jawatankuasa Pemilihan Sekolah - dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
  • Panel Penasihat - dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad
  • Jawatankuasa Pelaksana – dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Jabatan Sekolah)

Pelaksanaan sekolah kluster adalah berasaskan kepada proses desentralisasi yang melibatkan pengupayaan sekolah menerusi pemberian autonomi terpimpin. Pandangan stakeholder seperti PIBG, Alumi, pemimpin sekolah dan guru turut diambil kira dalam pelaksanaan sekolah kluster. Mereka telah terlibat secara langsung dalam Bengkel Autonomi Sekolah Kluster Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah diadakan pada 19-20 Mac 2007. Panel Penasihat Sekolah Kluster pula akan membantu menyumbangkan kepakaran mereka bagi memastikan pelaksanaan sekolah kluster dapat berjalan dengan jayanya.

KRITERIA PEMILIHAN SEKOLAH KLUSTER
Pemilihan sekolah kluster akan dibuat berdasarkan kepada kluster berikut:

  • Sekolah Rendah yang terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Orang Asli.
  • Sekolah Menengah yang terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Harian, Sekolah Premier, Sekolah Seratus Tahun, sekolah dalam persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya, dan Sekolah Model Khas.
  • Sekolah Rendah Pendidikan Khas (SPK) dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK), dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV).
  • Sekolah Antarabangsa dan Sekolah Swasta
  • Institusi lepas menengah seperti Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) (PIPP, 2006, ms. 119 dan 121)

Pemilihan sekolah tersebut perlu memenuhi prasyarat dan syarat berikut:

  • Prasyarat Pertama
    • Pengukuran Standard Sekolah:
  • Sekolah mestilah mencapai sekurang-kurangnya Taraf Cemerlang berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM)
  • Prasyarat Kedua
  • Kecemerlangan Kurikulum (Sekolah Menengah)
  • Gred Purata Sekolah (GPS) untuk peperiksaan awam PMR dan SPM 3 tahun berturut-turut:
      • SBP : GPS 2.5 dan ke bawah
      • SMKA : GPS 3.0 dan ke bawah
      • SMT : GPS 4.0 dan ke bawah
      • SM Harian : GPS 4.0 dan ke bawah
    • Kecemerlangan Kurikulum (Sekolah Rendah):
    • Sekolah Rendah Harian : 80% dan ke atas murid lulus semua mata pelajaran dalam UPSR, atau
    • Peratus kelulusan menunjukkan peningkatan; atau
    • GPS UPSR : 2 dan ke bawah

c. Syarat Pemilihan

  • Kecemerlangan murid dalam aspek:
    • Akademik
    • Kokurikulum
    • Sahsiah
  • Pengurusan sekolah berwawasan dan berkesan.
  • Pembangunan sumber terurus dan digunakan secara optimum.
  • Pemimpin sekolah mengamalkan kepimpinan berkualiti.
  • Pengurusan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
  • Iklim sekolah kondusif untuk pembangunan modal insan.
  • Keberkesanan pelaksanaan program KPM
  • Sekolah berwatak

Sekolah yang memenuhi prasyarat dan syarat yang ditetapkan di atas boleh mengemukakan permohonan dan prosedur pemilihan adalah seperti berikut:

  • Langkah 1: Penerimaan pencalonan
  • Langkah 2: Penilaian menggunakan instrumen SKPM dan Annex.
  • Langkah 3: Penentuan standard (standard fixing) oleh JK Pelaksana Sekolah Kluster
  • Langkah 4: Kesahan calon dalam Mesyuarat Hal-hal Profesional
  • Langkah 5: Calon dimaklumkan kepada Lembaga Penasihat
  • Langkah 6: Pengumuman oleh YB Menteri Pelajaran

PENGURUSAN SEKOLAH KLUSTER
Pemimpin sekolah kluster ialah:

  • Pengetua/Guru Besar (DG52/DGA 36)
  • Pemimpin yang terpilih memenuhi syarat pemimpin cemerlang
  • Jawatan: school-based post

Guru-guru sekolah kluster pula:

  • Memenuhi kriteria Guru Cemerlang
  • Prestasi mereka akan menentukan sama ada mereka kekal mengajar di Sekolah Kluster.
  • Boleh mendapatkan perkhidmatan pakar mengikut niche areas sekolah dalam bidang kokurikulum secara kontrak atau sambilan
  • Nisbah kelas: guru ialah 1:2

Kaedah pemilihan pelajar sekolah kluster:

  • Kluster SBP, SMT dan SMKA kekal seperti amalan sedia ada
  • Kluster lain, pengetua/guru besar diberi kuasa mengambil sejumlah kecil murid baru untuk bidang kebitaraan sekolah
  • Ujian saringan sekolah

Akauntabiliti Pemimpin Sekolah:

  • Berpandukan:
    • Key Performance Indicator (KPI)
      • pengurusan sumber manusia dan fizikal
      • sumber kewangan
      • pembangunan profesionalisme staf
      • program kurikulum dan kokurikulum berkesan
      • lulusan sekolah berkualiti: pencapaian akademik, kokurikulum dan sahsiah.
    • TOR Sekolah Kluster

Autonomi Sekolah:
Jenis Autonomi yang diberikan kepada sekolah berbentuk:

    • Umum (untuk semua sekolah)
    • Khusus (mengikut keperluan sekolah berlandaskan kepada jenis sekolah, pengajiannya dan niche areas).

Autonomi yang diberikan juga merupakan autonomi terpimpin yang memerlukan kepada:

  • Pematuhan piawai yang berikut:
    • Akta Pendidikan 1996
    • Sistem Pendidikan Kebangsaan
    • Akta Tatacara Kewangan 1957, Pekeliling Perbendaharaan dan Garis Panduan dan Surat-surat Siaran
    • SKPM

Senarai Bidang Autonomi:

    • Pengurusan Sekolah
    • Pengurusan Sumber Manusia
    • Pengurusan Sumber Kewangan dan Sumber Fizikal
    • Pengurusan dan Pelaksanaan Kurikulum
    • Pengurusan dan Pelaksanaan Kokurikulum

Jaminan kualiti:

Bagi memastikan sekolah kluster sentiasa mempertingkatkan standard kualiti, jaminan kualiti di sekolah kluster akan menggunakan mekanisme kawalan luaran dan kawalan dalaman.

Peranan Agensi Lain

Sekolah Kluster akan memperluas peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG, Lembaga Pengelola, Alumni dan NGO dalam aspek:

    • Biasiswa
    • Kewangan/Dana
    • Program Kecemerlangan Akademik
    • Program Kecemerlangan Kokurikulum
    • Program Kerjaya

IMPAK SEKOLAH KLUSTER

Sekolah kluster akan memberi impak yang positif kepada pendidikan negara dari segi:
Program Kecemerlangan Kokurikulum

  • Program Kerjaya
  • Pelajar sekolah cemerlang secara keseluruhan (holistic) dalam sistem: 5.8% daripada 5.2 juta pelajar
  • Lepasan sekolah kluster diterima masuk universiti ternama luar negara
  • Badan korporat dan agensi kerajaan berkeyakinan menaja pengajian lepasan sekolah kluster
  • Menyediakan asas kukuh melahirkan peneraju utama agen perubahan
  • Sebanyak 300 buah sekolah diiktiraf antarabangsa (3.1% daripada 9663 sekolah)
  • Model piawaian kepada sekolah dalam dan luar negara
  • Pemimpin berkualiti (3.1% daripada 9663 sekolah) dan guru yang cemerlang
    (6.9% daripada 350,000 guru)
  • Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan di Malaysia

Thursday, May 10, 2007

Jenamakan semula 88 sekolah bestari


KUALA LUMPUR 29 April – Program pembestarian sekolah dan inisiatif teknologi maklumat komunikasi (ICT) Kementerian Pelajaran yang berakhir bulan ini akan menumpukan usaha menjenamakan semula 88 buah sekolah bestari di seluruh negara.



Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia merupakan satu langkah amat penting kerana semua sekolah berkenaan akan dijadikan penanda aras terhadap rancangan pembestarian 10,000 sekolah lain.

Menurutnya, langkah itu juga mampu meletakkan semua sekolah bestari terlibat pada kedudukan setanding dengan sekolah-sekolah bestari ternama di seluruh dunia.

‘‘Untuk tujuan ini, Kementerian Pelajaran dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) akan meneliti secara holistik semua aspek pelaksanaannya.

‘‘Satu kertas Kabinet juga akan disediakan bagi memantapkan sekolah-sekolah ini dari segi polisi, infrastruktur, perkakasan, perisian dan aplikasi, kemahiran guru dan kepimpinan di peringkat sekolah, daerah dan negeri serta bahagian-bahagian dalam kementerian,’’ katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Program tersebut merupakan intipati utama dalam Teras Ketiga Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 - 2010 dan fokus pelaksanaannya telah dibuat sepanjang bulan ini.

Mulai Mei ini, Kementerian Pelajaran akan beralih kepada fokus yang baru dalam PIPP iaitu Teras Kelima - Memartabatkan Profesion Keguruan.

Menurut Hishammuddin, sejajar dengan usaha menjenama semua sekolah bestari, pihak kementerian serta MDeC akan berusaha menjadikan 47 sekolah daripadanya mencapai taraf lima bintang menjelang akhir tahun ini.

‘‘Pada akhir 2008, disasarkan kesemua 88 buah sekolah bestari akan mencapai taraf lima bintang. Pelaksanaannya akan dilakukan berdasarkan kepada Standard Kelayakan Sekolah Bestari (Smart School Qualification Standard (SSQS)),’’ katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, fokus terhadap pembestarian sekolah untuk tahun depan akan dibuat pada Mac 2008.

Sepanjang tempoh tidak sampai setahun ini, semua cadangan yang realistik daripada pihak awam perlu dilaksanakan supaya program pembestarian sekolah dan penjenamaan semula 88 buah sekolah bestari itu berjaya.

Menurut Hishammuddin, ia amat berkaitan dengan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah pada mesyuarat Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO) pada 14 Mac 2008 dan Persidangan Menteri-Menteri Pendidikan Komanwel pada 2009.

‘‘Dalam kedua-dua mesyuarat tersebut sudah tentu kejayaan serta pengalaman Malaysia dalam bidang pendidikan harus dikongsi bersama dengan negara anggota lain,’’ tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan bahawa kerajaan komited dalam usaha menyediakan pendidikan berkualiti serta menjadikan sekolah di negara ini sebagai sekolah masa depan.

‘‘Sepanjang bulan ini, pihak kementerian telah mendengar semua input, pandangan dan kritikan yang diterima melalui Persidangan Antarabangsa Sekolah Bestari, pengalaman negara-negara luar dan pelbagai forum lain termasuk yang disiarkan di dalam media.

Antara pandangan-pandangan itu, katanya, ialah memastikan infrastruktur asas dalam program pembestarian disediakan dalam keadaan baik antaranya bekalan elektrik, sistem pendawaian yang bersesuaian dan akses terhadap Internet jalur lebar.

Selain itu, kata Hishammuddin, antara pandangan lain ialah mengenai nisbah komputer kepada pelajar, nisbah komputer kepada guru dan masa pembelajaran terhadap ICT yang efektif.

Utusan Malaysia

19 KSC naik taraf bestari

Oleh Azrina Ahzan

Kementerian suntik unsur kepemimpinan, kemudahan ICT

KEMENTERIAN Pelajaran akan membestarikan 19 sekolah kluster atau Kelompok Sekolah Cemerlang (KSC) yang belum mencapai status itu menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata langkah itu sejajar usaha menjadikan sekolah kluster penanda aras usaha pembestarian sekolah seperti yang dinyatakan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Katanya, ketika ini, 11 daripada 30 sekolah kumpulan pertama KSC yang diumumkan Mac lalu sudah dikategorikan sebagai sekolah bestari.

"Justeru, baki 19 sekolah itu perlu dilengkapkan dengan kemudahan komputer atau disuntik unsur kepimpinan dan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) supaya mencapai tahap sekolah bestari," katanya selepas pelancaran Program Perkongsian Pintar Ke Arah Pembestarian Sekolah di Putrajaya, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Badlisham Ghazali; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Ahamad Sipon; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Mimi Ismail; Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan, Datuk Dr Yusuf Harun dan Pengerusi Lembaga Penasihat Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad.

Ketika ini, terdapat 88 sekolah bestari di seluruh negara hasil pelaksanaan aplikasi perdana projek Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia) yang dilancarkan 10 tahun lalu.

Hishammuddin berkata, Kementerian Pelajaran juga akan mengenal pasti semua sekolah yang menyertai program sekolah angkat untuk mengelak pertindihan.

"Kementerian mahu memastikan segala bantuan yang disalurkan syarikat swasta sampai kepada sekolah yang memerlukan," katanya.

Program sekolah angkat adalah susulan program pembestarian sekolah yang membolehkan pihak swasta seperti Intel, AMD dan Time Engineering menghulurkan bantuan kewangan, perisian dan tenaga kerja bagi melatih guru dan pelajar menggunakan kemudahan ICT yang disediakan di sekolah terbabit.

Hishammuddin juga mengingatkan semua pihak yang terbabit dalam program pembestarian sekolah menunaikan tanggungjawab masing-masing dan menggunakan Standard Kelayakan Sekolah Pintar (SSQS) sebagai panduan.

Dalam ucapannya, Hishammuddin berkata, pembabitan sektor swasta amat penting bagi memastikan kejayaan agenda pendidikan negara, terutama PIPP 2006-2010 yang dilancarkan awal tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, masalah kekurangan maklumat, pertindihan program, perancangan tidak tepat dan ketiadaan mekanisme jelas menyebabkan program bersama pihak swasta gagal diteruskan, walaupun mencatatkan kejayaan.

"Justeru, kementerian akan mempakej setiap inisiatif pihak luar supaya setiap sumbangan dapat diselaraskan secara strategik bagi memaksimumkan impaknya dan mengelakkan pertindihan serta pembaziran," katanya.

Berita Harian

Standard pembestarian sekolah kita diiktiraf dunia

Oleh Norliza Abdullah


KONSEP Sekolah Bestari diperkenalkan Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC) menerusi 88 sekolah sejak 10 tahun lalu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam melonjakkan kecemerlangan pendidikan menerusi e-pembelajaran dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Jika konsep itu diguna pakai di semua 10,000 sekolah seluruh negara, nescaya usaha Malaysia untuk berada sebaris negara maju sebagai pelopor penggunaan ICT dalam pendidikan menjelang 2010 menjadi kenyataan.

Penyelaras ICT institusi pendidikan swasta United Kingdom (UK), Joseph Whittaker, berkata pembabitan Malaysia sejak 10 tahun lalu dalam bidang itu memerlukan sokongan semua pihak. Jika usaha itu berjalan lancar, katanya, pasti Malaysia berada pada landasan kukuh dalam usahanya membestarikan pelajar.

Bagaimanapun, tidak mustahil menjelang 2010, standard pembestarian sekolah di Malaysia berada pada kedudukan sebaris UK, walaupun secara umumnya negara itu kini pada kedudukan antara paling maju di kalangan kelompok kuasa besar Amerika Syarikat, Jepun dan Australia.

“Kesungguhan kerajaan dan kerjasama mantap sektor swasta mempercepatkan usaha Malaysia membestarikan sistem pendidikannya. Selain Singapura, berbanding dengan negara lain di Asia Tenggara, Malaysia berada di tangga teratas sebagai pelopor ICT serantau,” katanya.

Pemerhatian beliau sepanjang bertugas di negara ini mendapati usaha bersungguh-sungguh semua pihak terutama swasta, ibu bapa dan pelajar mampu meningkatkan kecemerlangan.

“Jika dibandingkan dengan UK pastinya kami lebih maju, tetapi perubahan berlaku di Malaysia begitu pantas dan ia membanggakan,” katanya.

Mungkin pendapat beliau itu boleh dikatakan berat sebelah kerana Whittaker kini bertindak sebagai penyelia ICT di sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur. Usah bandingkan kemudahan antara kedua-dua negara, sebagai rakyat Malaysia, kita patut berbangga selepas 50 tahun bebas dijajah, negara mampu bangun dengan pantas untuk berada hampir sebaris dengan UK dalam bidang ICT.

Whittaker berkata, kaedah pengajaran dan pembelajaran di Malaysia memerlukan perubahan mengikut keperluan industri sejagat.

“Ia perlu menjurus kepada usaha melahirkan pelajar cemerlang seimbang dengan daya pemikir dan tidak tertumpu kepada sistem peperiksaan semata-mata.

“Aplikasi menerusi penggunaan ICT membantu pelajar berfikiran kritis, sekali gus membawa mereka ke suatu dimensi baru kepada kaedah pembelajaran lebih menyeluruh,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan ke Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, wakil Thailand, berpendapat sasaran Malaysia membestarikan semua 10,000 sekolahnya adalah suatu langkah drastik. Mungkin sukar baginya memastikan semua sekolah berada pada tahap bestari menjelang 2010.

Pengarah Pusat Komputer dan Elektronik Teknologi Suankularbwittayalainonthaburi School Bangkok, Jirat Jamsawang, berkata jika pada peringkat awal kesungguhan itu sudah mencatatkan kejayaan, pastinya pada tempoh berkenaan sebahagian besar sekolah dapat dibestarikan.

Di Thailand, beliau berkata, kerajaan masih belum menyediakan struktur khas sebagai panduan dalam pembentukan sekolah berkonsepkan celik ICT.

Sekolah dilengkapi kemudahan ICT katanya, adalah atas inisiatif pihak pengurusan dengan kerjasama penaja yang terdiri daripada syarikat dimiliki ibu bapa.

“Memandangkan konsep diperkenalkan Malaysia mampu melonjakkan kecemerlangan pendidikan, perlu bagi kami mengguna pakai kerangka berkenaan untuk sekolah di Thailand. Konsep perkongsian ini penting bagi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.

Bagi negara bukan saingan Malaysia, seperti Pakistan, Iran dan Vietnam, tahap kecanggihan sekolah bestari di sini adalah sesuatu yang sungguh menakjubkan.

Masing-masing teruja dengan kecanggihan dan struktur sekolah bestari Malaysia yang dianggapnya sesuatu dilaksanakan atas komitmen tinggi semua pihak termasuk pelaburan besar diperlukan untuk menjayakannya.

Malaysia sebuah negara sedang membangun juga tidak ketinggalan, dengan sumber kewangan terhad, sokongan padu pihak industri terutama swasta terus menjana usaha membestarikan semua sekolahnya.

Kerjasama pintar itu patut dicontohi negara yang sedang membangun kerana ia mempercepatkan proses melestarikan pelajar yang sekali gus membentuk masyarakat celik IT.

Berita Harian

Tiada alasan lagi guru tak mampu miliki komputer

Oleh Azrul Affandi Sobry


KETIKA Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Fatimah Md Deni mengumumkan lebih 300,000 guru sekolah rendah dan menengah di seluruh negara berpeluang memiliki komputer riba apabila kementerian memperkenalkan skim pinjaman atau pembiayaan 50-50, pastinya ramai guru berasa lega dan tidak sabar menunggu pelaksanaannya.
Kenyataan Fatimah menunjukkan beliau akur dengan keluhan ramai guru subjek lain yang tidak dibekalkan komputer riba sehingga ada menyatakan kementerian pilih kasih dan hanya mengutamakan guru Sains dan Matematik. Setakat ini kementerian hanya membekalkan komputer riba kepada guru subjek terbabit selain guru yang menjalankan tugas khas lain seperti setiausaha peperiksaan, penyelaras Hal Ehwal Murid dan Sistem Maklumat Pengurusan Pelajaran (EMIS).

Jika diperhalusi rintihan guru selama ini, kementerian perlu mengakui hakikat kerana guru selama ini dibebani pelbagai tugas yang memerlukan mereka menggunakan komputer seperti merekod data.

Selain itu, guru juga memerlukan komputer untuk memudahkan mereka menyediakan bahan bantu mengajar selain kadangkala perlu menyiapkan pelbagai laporan yang diminta pihak sekolah. Tidak cukup dengan itu, guru sewajarnya menguasai kemahiran teknologi maklumat (ICT) kerana nampaknya kementerian kini begitu agresif menjadikan ICT sebagai kepentingan yang diberi perhatian.

Jelas sekali keperluan guru memiliki komputer peribadi bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk urusan rasmi sekolah. Benar, memang setiap sekolah disediakan makmal komputer dan guru boleh menggunakannya, namun adakah komputer di situ memenuhi keperluan guru dan relevan untuk kegunaan harian guru?

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, berkata sepanjang pemerhatiannya, hampir semua sekolah berdepan dengan masalah penyelenggaraan komputer dan boleh dikatakan banyak komputer di makmal tidak dapat digunakan kerana pelbagai masalah.

“Selain jumlah komputer terhad, peraturan makmal yang ketat juga sering menyebabkan guru tidak dapat menggunakan komputer pada masa diperlukan. Apabila jadual yang membolehkan mereka menggunakan komputer, pada masa sama guru berkenaan perlu mengajar di kelas hingga menyukarkan mereka menyiapkan tugasan.

“Kebanyakan guru lebih selesa menyiapkan kerja di luar waktu persekolahan seperti pada waktu malam, tetapi mustahil mereka boleh menggunakan makmal komputer pada waktu malam. Jelas sekali, semua guru perlu mempunyai komputer sendiri,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, walaupun kerajaan ada menyediakan skim pinjaman untuk pembelian komputer, adakah wajar guru menanggung beban hutang untuk menjalankan urusan sekolah. Jika guru terpaksa berhutang, itu sudah menjadi hak peribadi sedangkan tidak ramai guru yang menggunakan komputer untuk urusan peribadi.

“Malah, bukan semua orang suka berhutang. Sehubungan itu, langkah kementerian yang mahu memperkenalkan skim bayaran 50-50 itu wajar disegerakan untuk menangani masalah ini,” katanya.

Guru juga kadangkala dibebani arahan menghadiri kursus dengan membawa komputer riba sendiri. Masalahnya, bagaimana mereka boleh membawa komputer sedangkan mereka tidak memilikinya. Memang guru boleh meminjam daripada guru Sains dan Matematik (PPSMI), tetapi sering kali pula mereka berdepan masalah kerana guru PPSMI juga hendak menggunakan komputer bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Dalam usaha kementerian menggalakkan perkembangan ICT di sekolah sehinggakan baru-baru ini Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengumumkan untuk memperluaskan pengetahuan ICT pada peringkat prasekolah pula, tidakkah mereka sedar bahawa kepentingan yang lebih utama adalah memastikan semua guru menguasai kemahiran ICT terlebih dulu.

Teringat kata-kata bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, “untuk memastikan hasrat kerajaan membina modal insan, kita perlu memastikan insan di negara ini mampu dijadikan modal. Untuk menjadikan mereka modal, kita memerlukan modal lain untuk menyuntik kemampuan mereka dan modal itu adalah pendidikan. Untuk menyampaikan pendidikan pula, kita memerlukan pendidik yang berkemahiran”. Jadi, jelas sekali sebelum ICT diperluaskan kepada semua peringkat, pendidik perlu menguasai bidang itu sepenuhnya.

Namun, semua pihak perlu sedar, untuk menguasai bidang yang bersifat kemahiran itu, latihan berterusan diperlukan dan ia mustahil dicapai jika guru tidak mempraktikkannya selalu di rumah dan di tempat kerja. Berilah pelbagai kursus sekalipun, tetapi jika peluang mempraktikkannya terhad, semua kursus itu adalah sia-sia.

Sehubungan itu, Anuar berkata, guru perlu memiliki komputer riba 24 jam dan bukan terpaksa beratur menunggu giliran di makmal sehingga kadangkala gagal menyiapkan kerja yang diberi tepat pada masanya. Kadangkala kerana terpaksa menyiapkan kerja di makmal, urusan mengajar yang lebih penting tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Jika kementerian memandang serius perkara ini, pengumuman Fatimah itu wajar dilaksanakan segera. Jangan sekadar membuat pengumuman gembira, tetapi pelaksanaannya terus senyap tanpa berita. Semua warga pendidik tetap menaruh harapan agar cadangan kementerian menjadi kenyataan.

“Jika hendak menyahut seruan kerajaan, satu rumah satu komputer, pendidik terlebih perlu perlu mempunyai komputer. Jangan nanti, murid lebih mahir menggunakan komputer sedangkan guru terpinga-pinga mengingati kembali kaedah menggunakan komputer yang jarang dipraktikkan,” katanya.

Berita Harian

Cabaran ICT di sekolah pendidikan khas

PROGRAM pembestarian sekolah yang menjadi salah satu pengisian utama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), ditakrif sebagai proses berterusan ke arah membudayakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan bagi mempertingkat kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P), keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah serta kompetensi guru. Agenda nasional ini tidak meminggirkan pelajar berkeperluan khas mencakupi kategori masalah penglihatan, pendengaran, pembelajaran dan murid pemulihan khas. Wartawan Berita Minggu, Syuhada Choo Abdullah, menemubual Setiausaha Parlimen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantapan Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran, Komala Devi, mengenai usaha itu.


APAKAH program ICT yang akan dilaksanakan khusus di sekolah pendidikan khas dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)

Ketika ini, ada 32 sekolah pendidikan khas di seluruh negara, meliputi 28 sekolah rendah dan empat menengah, di samping 1,118 program pendidikan khas integrasi (72 masalah pendengaran, 26 masalah penglihatan dan 1,020 masalah pembelajaran) membabitkan sejumlah 25,106 pelajar.

Dalam RMK-9, RM15 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program ICT untuk pendidikan khas. Program berkenaan ialah Pembestarian Sekolah Pendidikan Khas, Pusat Pembelajaran Kendiri dan penggunaan ICT di kelas prasekolah pendidikan khas.

Bagi program Pembestarian Sekolah Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Khas (JPK) sudah melaksanakan projek rintis dalam RMK-8 pada 2002 membabitkan empat sekolah, iaitu masing-masing dua sekolah rendah dan menengah pendidikan khas. Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Alma, Pulau Pinang dan juga Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Setapak, Kuala Lumpur (masalah penglihatan); SKPK Alor Star, Kedah (masalah pendengaran); serta SMPK Vokasional Indahpura, Johor (masalah pendengaran, penglihatan dan pembelajaran).

Apakah perancangan untuk memperluas pelaksanaan projek rintis itu.

Dalam RMK-9, JPK merancang memperluaskan program Pembestarian Sekolah Pendidikan Khas kepada 28 sekolah. Inisiatif ini akan menggunakan lima model dilengkapi kemudahan ICT, perkakasan dan perisian, peralatan dan perisian pendidikan khas yang khusus, serta rangkaian LAN (rangkaian kawasan setempat) di makmal, kelas, bilik guru dan juga pusat sumber.

Model terbabit ialah Model Makmal Masalah Penglihatan di tiga sekolah, Model Makmal Masalah Pendengaran (14 sekolah), Model Kelas Masalah Penglihatan (dua sekolah), Model Kelas Masalah Pendengaran (10 sekolah) dan Model Makmal Sekolah Pendidikan Khas Baru (dua sekolah).

Bagaimana dengan peralatan dan perisian ICT khusus yang dibekalkan ke sekolah pendidikan khas di bawah program pembestarian ini.

Secara umum, peralatan ICT dibekalkan itu sama seperti diperoleh sekolah aliran perdana. Bagaimanapun bagi sekolah pendidikan khas (masalah penglihatan), ada peralatan dan perisian khusus untuk kegunaan pelajar terbabit. Peralatan itu ialah Smartview CCTV untuk membesarkan saiz teks atau gambar melalui skrin, Index Braille Embosser (mencetak tulisan braille), Touch Screen Monitor (membolehkan pelajar menggunakan komputer secara sentuhan), Pengimbas Scanner (menterjemah teks cetakan kepada suara) dan Braillenote (komputer elektronik bersuara tanpa skrin).

Perisian khusus dibekalkan untuk masalah pendengaran pula ialah Duxbury bagi menterjemah teks kepada braille, Zoomtext (membesarkan saiz teks pada skrin) dan JAWS iaitu perisian Screen Reader.

Apakah pula peranan Pusat Pembelajaran Kendiri.

Pusat Pembelajaran Kendiri akan dibina di asrama sekolah pendidikan khas bagi membolehkan pelajar membuat capaian kepada sumber pendidikan luar melalui internet, di samping melaksanakan aktiviti pembelajaran berasaskan projek. Selain itu, pusat ini juga bertujuan mempertingkat ‘contact-hours’ pelajar dengan komputer.

Sebanyak 13 sekolah terbabit dalam program ini, iaitu 11 sekolah pendidikan khas sedia ada dan dua SMPK vokasional baru yang akan dibina dalam RMK-9. Dari segi peralatan dan perkakasan, setiap Pusat Pembelajaran Kendiri akan dibekalkan lima komputer, Screen Reader Software, Text Magnifier Software, suis, sebuah pencetak laser A4, sebuah Inkjet Color Printer A4 serta Rangkaian LAN.

Sejauh manakah inisiatif ICT membantu pembabitan pelajar berkeperluan khas dalam pelaksanaan P&P Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Dalam konteks pelaksanaan PPSMI, JPK memastikan peralatan ICT dibekalkan ke sekolah pendidikan khas dan program pendidikan khas integrasi. Demikian juga dalam Fasa V PPSMI Program Pemulihan Khas, kemudahan ICT diperuntukkan.

Malah, pelajar serta guru PPSMI yang bermasalah penglihatan turut dibekalkan peralatan khas bagi memudahkan proses P&P. Peralatan berkenaan ialah Embosser sebanyak 66 unit, Thermal Form (33), Braille Note (10), Braillone (1,320), Perisian Duxbury (60), Perisian JAWS (60) dan Perisian Zoom Text (60).

Bagaimana dengan program penggunaan ICT di prasekolah pendidikan khas.

Setiap kelas prasekolah pendidikan khas sudah dibekalkan masing-masing sebuah komputer dan juga pencetak, di samping perisian, bagi membantu guru memberi pendedahan ICT kepada murid berkeperluan khas dari seawal usia empat sehingga enam tahun. Bukan itu saja dengan kerjasama Bahagian Sekolah, 30 kelas prasekolah dalam Program Pendidikan Khas Integrasi sudah menerima sebuah komputer yang lengkap dengan perisian hasil sumbangan IBM. Selain itu, 31 kelas prasekolah dalam program sama juga dibekalkan dua komputer dan sebuah pencetak di bawah peruntukan Kementerian Pelajaran.

Apakah perkembangan pelaksanaan projek ICT di sekolah murid Orang Asli dan Penan.

Agenda untuk menyamaratakan medan persaingan dalam bidang ICT turut membabitkan sekolah murid Orang Asli dan Penan. Sehubungan itu, lima sehingga tujuh sekolah yang berdekatan dari segi fizikalnya serta memiliki ciri sama akan dikelompokkan bagi penggunaan ICT dengan tujuan perkongsian P&P, perkongsian data dan meningkatkan pencapaian dengan cara berkongsi maklumat antara satu sama lain.

JPK akan menjalankan ‘proof of concept’ sidang video atau telesidang pada masa terdekat di tujuh sekolah rendah sekitar daerah Pekan, Pahang yang dikategorikan sebagai satu kelompok. Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Chini yang mempunyai 100 peratus murid Orang Asli, SK Permatang Kledang (100 peratus murid Orang Asli), SK Runchang (100 peratus murid Orang Asli), SK Kincir (majoriti murid Orang Asli), SK Kota Perdana (majoriti murid Orang Asli) dan SK Bandar 2, Paloh Hinai (Sekolah Model Khas Komprehensif K9).

Secara keseluruhan, apakah isu dan cabaran dihadapi JPK untuk melaksanakan program ICT dalam pendidikan khas.

Berhubung perkara ini, guru perlu dilatih serta diberi kemahiran untuk mengajar berkeperluan khas dengan menggunakan ICT. Selain peralatan ICT biasa, guru pendidikan khas juga perlu mahir mengendalikan peralatan dan perisian khusus. Seterusnya, perisian yang terdapat di pasaran untuk P&P pendidikan khas amat terhad dan ada kala kurang sesuai bagi pelajar berkeperluan khas, terutama kategori masalah pembelajaran. Walaupun ada peralatan dan perisian luar negara yang boleh diguna pakai untuk pelajar berkeperluan khas di Malaysia, kosnya sangat tinggi. Berikutan itu, kekurangan kepakaran untuk membina perisian sesuai bagi pelajar terbabit juga adalah satu cabaran.

Sementara itu, kepelbagaian kecacatan pelajar berkeperluan khas memerlukan peralatan dan juga perisian khusus secara individu. Ini adalah suatu yang sukar untuk dipenuhi kerana kekangan sumber kewangan dan manusia. Bagi pengkelompokan sekolah murid Orang Asli dan Penan, lokasi sekolah terbabit adalah di pedalaman dan sukar mendapat akses penuh kepada jaringan rangkaian, internet serta kemudahan lain seperti telefon dan satelit. Peralatan ICT di sekolah murid Orang Asli juga tidak sesuai untuk menjalankan sidang video ataupun telesidang.

Bagaimanakah isu dan cabaran ini dapat diatasi.

Kepakaran perlu diwujudkan dan kerjasama daripada pihak lain harus dipertingkat untuk membantu JPK. Kerjasama pintar serta jalinan kolaborasi perlu diwujudkan dengan institusi luar, termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang mahir dalam menghasilkan perisian sesuai untuk pelajar berkeperluan khas. Di samping itu, JPK juga perlu menjalankan kajian impak ICT terhadap pencapaian pelajar berkeperluan khas, baik di sekolah pendidikan khas mahupun dalam program pendidikan khas integrasi.

Berita Harian

Penarafan Sekolah Dalam ICT


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan penarafan bintang atau penggredan makmal komputer di sekolah seluruh negara.



Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar, berkata langkah itu bagi membolehkan pemantauan secara berstruktur dilaksanakan untuk memastikan penggunaan makmal komputer berada pada tahap optimum.

"Salah satu cara untuk mengoptimumkan penggunaan makmal sekolah ialah dengan memberikan gred. Jika sekolah ini menggunakan makmal komputer dengan baik, kita mungkin beri lima bintang atau empat bintang kalau kurang baik dan seterusnya.

"Dengan ada sistem penggredan ini, kita harap sekolah akan berlumba-lumba untuk mendapat lima bintang dan pada masa yang sama kita akan terus memberi latihan kepada guru," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Sarit Yusoh (BN-Temerloh) yang ingin tahu adakah kementerian menjalankan pemantauan mengenai perisian di makmal komputer, terutama di sekolah luar bandar supaya dapat melahirkan pelajar lebih kreatif dan global.

Noh berkata, dengan cara itu, pemantauan oleh kementerian melalui Bahagian Teknologi Pendidikan melalui Pemantauan Program Makmal Pengkomputeran dapat dilakukan dengan lebih efektif.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Mohd Sarit yang meminta Menteri Pelajaran menyatakan status kelengkapan dan pengajaran melalui makmal komputer di sekolah, beliau berkata, kementerian sudah membina dan membekalkan kemudahan komputer di 6,431 sekolah seluruh negara, manakala 3,459 sekolah pula dikenal pasti belum mendapat kemudahan makmal komputer.

Katanya, pembinaan makmal untuk 3,549 sekolah itu akan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan sudah bermula dengan pembinaan 734 makmal pada penghujung 2006.

"Kita akan memastikan semua sekolah termasuk sekolah kebangsaan sama ada di bandar atau luar bandar dapat menikmati kemudahan ini.

"Sudah menjadi hasrat kementerian untuk memastikan 100 peratus sekolah di negara ini mendapat kemudahan komputer agar proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat dilaksanakan lebih berkesan," katanya.

Berita Harian

Pembestarian Sekolah

Kilasan: Pembestarian sekolah dapat kurangkan beban tugas guru


SARANAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar pihak pentadbir sekolah mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sekurang-kurangnya aplikasi paling asas, agak memeranjatkan.


Apakah masih ada pentadbir sekolah yang tersisih daripada penggunaan ICT setelah kira-kira 10 tahun Kementerian Pelajaran melaksanakan konsep sekolah bestari di negara ini? Walaupun sekolah bestari terhad kepada 88 sekolah, tetapi kempen penggunaan ICT, tersebar luas mencakupi hampir semua kira-kira 10,000 sekolah seluruh negara.

Ini terbukti dengan pembinaan makmal komputer membabitkan 5,000 sekolah dan 133,000 unit komputer dan 4,700 server, manakala pengenalan pengajaran dan pembelajaran (P&P) subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris yang kini masuk tahun kelima, membawa ICT kepada semua sekolah rendah dan menengah apabila setiap guru subjek terbabit dibekalkan dengan komputer riba dan sekolah pula projektor cecair kristal (LCD).

Apabila seluruh negara digegarkan dengan perancangan penggunaan ICT di sekolah, maka sangat menghairankan kerana masih ada pentadbir sekolah yang jahil aplikasi asas teknologi itu termasuk e-mel, word processor dan pelayar internet.

Kita berharap selepas teguran Najib itu, organisasi yang menjadi payung kepada guru besar dan pengetua, iaitu Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia dan Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah-sekolah Menengah Malaysia akan memastikan setiap ahlinya tidak lagi terasing daripada arus ICT yang kini sudah pun dikuasai murid peringkat tadika.

Ia di samping langkah wajar yang akan diambil pihak berkaitan dalam Kementerian Pelajaran bagi menaik taraf guru besar dan pengetua dalam penggunaan teknologi penting itu.

Kita berharap, selain P&P pihak pentadbir sekolah dapat mengaplikasi penggunaan teknologi itu dalam pentadbiran dan pengurusan secara maksimum.

Pada masa ini hampir semua sekolah dibekalkan set komputer peribadi untuk digunakan dalam pentadbiran dan pengurusan. Jadi janganlah mengehadkan penggunaannya kepada fungsi mesin taip semata-mata.

Sekiranya kecanggihan teknologi komputer diaplikasikan, banyak aspek pengurusan sekolah terutama yang berkaitan data dan maklumat dapat ditingkatkan. Contohnya, pendaftaran pelajar seharusnya diprogramkan menggunakan komputer melalui software khusus yang dibina.

Dengan itu sebarang data mengenai pendaftaran murid boleh dicapai dengan hanya sekali klik. Jadi kerani sekolah tidak perlu lagi menyelongkar timbunan fail dalam almari apabila menghendaki sesuatu maklumat berkaitan pelajar.

Aplikasi ICT juga hendaklah mencakupi guru yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan. Jika ia dilaksana, sudah tentu akan memberi kesan dari segi mengurangkan beban tugas guru yang selama ini sentiasa menjadi rungutan terutama kesatuan guru tertentu.

Ambil contoh buku ringkasan mengajar, iaitu dokumen wajib digunakan sebagai bukti guru menjalankan tanggungjawab mengajar. Sejak zaman silam lagi, guru dikehendaki mengisi pelbagai maklumat secara manual, termasuk menyalin berpuluh-puluh muka surat sukatan pelajaran dan rancangan mengajar tahunan bagi mata pelajaran diajar pada tahun berkenaan.

Selain itu, guru mata pelajaran juga terpaksa mengisi rancangan mengajar mingguan setiap minggu dan harian. Semua catatan itu dipersetujui, termasuk Jemaah Nazir, supaya dicatat dengan lengkap, bagaikan sebuah karangan. Kerja ini terpaksa dilakukan walaupun 10 tahun seseorang guru mengajar mata pelajaran yang sama.

Mengapakah buku ringkasan mengajar tidak boleh digantikan dengan teknologi komputer? Guru cuma memasukkan maklumat sekali saja. Maklumat berkenaan hanya perlu diubah sedikit atau disesuaikan apabila guru mahu menggunakan untuk kali kedua.

Demikian juga dengan penggunaan komputer riba dalam pengajaran Matematik dan Sains. Penggunaannya amat tidak menggalakkan kerana masalah yang sama seperti kesuntukan masa dan kesukaran untuk membawa serta memasang peralatan itu dari satu kelas ke kelas lain.

Pihak Pusat Perkembangan Kurikulum yang memperkenalkan kaedah itu sepatutnya sudah mengemukakan kaedah mengatasinya paling lama selepas setahun ia dilaksanakan, selain kreativiti yang diterokai sekolah sendiri.

Ada pihak beranggapan, dengan kemasukan PTD ke jabatan pelajaran negeri seperti dicadangkan itu, akan berlaku pembestarian dalam pengurusan dan pentadbiran pelbagai jaringan Kementerian Pelajaran secara drastik termasuk peringkat sekolah.

Ini kerana seperti ditegaskan Ketua Pengarah Pelajaran, mereka adalah pakar dalam bidang pengurusan dan pentadbiran yang sudah tentu akan menjadikan ICT sebagai instrumen penting bagi menambah baik pentadbiran dan pengurusan sekolah.

Berita Harian

Kementerian nilai tahap guna ICT di sekolah


BAHAGIAN Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pelajaran, akan menggubal instrumen khusus bagi mengenal pasti impak daripada tahap penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah seluruh negara.

Pengarahnya, Datuk Yusoff Harun, berkata penilaian itu membabitkan tahap penggunaan ICT oleh warga sekolah secara menyeluruh, termasuk pihak pengurusan, guru serta pelajar.

Dalam konteks ini, beliau berkata, tahap penggunaan ICT dalam pelbagai urusan di sekolah meliputi pentadbiran serta pengajaran dan pembelajaran (P&P), akan diukur menerusi Standard Kelayakan Sekolah Bestari (SSQS).

“Berikutan SSQS hanya mengukur tahap penggunaan ICT di sekolah, satu instrumen khas diperlukan untuk mengenal pasti impak daripadanya pula.

“Antara lain mengenal pasti peratusan penggunaan ICT itu menyumbang ke arah menjadikan proses P&P lebih berkesan,” katanya selepas merasmikan Program Pembestarian Fokus Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2007 anjuran Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kelmarin.

Hadir sama Mohd Sanusi Saseetharan Abdullah yang menjalankan tugas Ketua Penolong Pengarah PSPN berkenaan.

Yusoff berkata, BTP juga sudah memulakan kerja pemantauan tahap penggunaan ICT terhadap 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Katanya, penilaian itu dibuat berdasarkan instrumen SSQS yang diumumkan Menteri Pelajaran baru-baru ini sebagai penanda aras pembestarian sekolah.

Melalui penggunaan instrumen itu, markah diberi berdasarkan empat petunjuk utama, iaitu penggunaan ICT dalam pengajaran, pembelajaran dan pentadbiran sekolah (40 peratus), keupayaan pentadbir, guru dan pelajar mengintegrasikan ICT dalam tugasan harian (30 peratus), kandungan dan sistem berdasarkan ICT sedia ada di sekolah (20 peratus), serta infrastruktur teknologi sedia ada di sekolah (10 peratus).

Beliau berkata, usaha berkenaan bermula sebaik saja ia diumumkan dengan membabitkan penggemblengan tenaga PSPN serta pusat kegiatan guru (PKG), di samping kerjasama Jemaah Nazir Sekolah, jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah.

“Pemantauan itu akan dilakukan sekurang-kurang dua kali setahun terhadap setiap sekolah. Daripada hasil penilaian berkenaan, setiap sekolah akan diberi penggredan bintang mengikut tahap penggunaan ICT masing-masing.

“Bagi sekolah yang didapati rendah tahap penggunaan teknologi maklumat, kita akan mengenal pasti punca dan berusaha membantu mengatasi kekangan atau kelemahan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Yusoff berkata, PSPN di seluruh negara juga dalam proses pertukaran nama kepada BTP Negeri dengan diketuai seorang Pengarah berbanding Ketua Penolong Pengarah ketika ini.

Beliau berkata, pertukaran nama itu bertujuan memberi imej lebih jelas kepada masyarakat mengenai peranan PSPN dan juga PKG yang beroperasi di bawah BTP.

Berita Harian

Penggredan bintang ICT sekolah diperkenal

Pengenalan sistem pastikan pelaburan kerajaan dimanfaat

DABONG: Kementerian Pelajaran akan melaksanakan sistem penarafan bintang bagi menilai tahap penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di semua sekolah seluruh negara.

Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pelajaran, Datuk Yusoff Harun, berkata mekanisme sistem penarafan bintang itu sudah wujud dan akan dilancarkan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, esok.

Katanya, penggredan bintang seperti hotel itu akan menyaksikan sekolah yang tinggi tahap penggunaan ICT sehingga mencapai 80 peratus ke atas akan diberikan lima bintang.

“Sekolah yang kurang atau lembab penggunaan ICT, akan diberikan taraf satu atau dua bintang dan seterusnya. Kita melihat di mana sekolah bertaraf lima bintang atau satu bintang sebaik sistem ini diperkenalkan nanti,” katanya selepas merasmikan program capaian internet tanpa wayar di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Dabong, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dabong, Datuk Ramzi Ab Rahman.

Pelancaran program capaian internet tanpa wayar di Dabong itu mencipta sejarah negara kerana ia yang pertama diperkenalkan Kementerian Pelajaran di negara ini.

Program itu membolehkan pelajar sekolah dan juga masyarakat setempat menggunakan komputer serta melayari internet, sekali gus menghubungkan Dabong yang terletak di pedalaman Kelantan dengan dunia luar.

Pada majlis itu juga, Dabong secara rasminya dihubungkan ke dunia antarabangsa apabila Hanafisah Ismail, 46, menghubungi anaknya, Siti Nabilah Mohd Zen, 21, yang menuntut di Universiti Nottingham, United Kingdom (UK) secara dalam talian.

Yusoff berkata, pengenalan sistem itu juga untuk memastikan pelaburan dilakukan kerajaan dalam menyediakan kemudahan ICT agar dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru besar, kakitangan dan pelajar sekolah.

“Kerajaan membuat pelaburan besar menyediakan kemudahan ICT di setiap sekolah dan kita kesan ada sekolah menggunakan kemudahan itu secara ala kadar dan ini satu pembaziran besar,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya menjangkakan, menjelang akhir tahun ini sasaran mewujudkan 3,000 jumlah pusat akses internet di sekolah seluruh negara tercapai.

Katanya, sehingga kini ada 1,584 pusat akses internet itu termasuk di Sabah dan Sarawak iaitu 30 peratus daripada matlamat 10,000 buah pusat berkenaan.

“Kami menjangkakan jumlah itu mampu dicapai apabila kerajaan meluluskan peruntukan baru berbanding peruntukan RM120 juta diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9),” katanya.

Berita Harian

3 cabaran utama pendidikan

Isu aplikasi ICT, bahasa Inggeris, disiplin pelajar perlu bijak ditangani

KIRA-KIRA 380,000 guru yang akan menyambut Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2007, 16 Mei ini, harus muhasabah diri dengan mengimbau perkembangan pesat bidang pendidikan negara sepanjang tempoh 50 tahun menikmati kemerdekaan.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata inisiatif itu boleh mencetus motivasi, inspirasi dan semangat kepada mereka untuk mempertingkat kerja yang dapat memanfaatkan pelajar.

Katanya, guru memainkan peranan penting sebagai penjana modal insan gemilang seperti tema perayaan yang dilengkapi dengan ucapan `terima kasih cikgu’.

Beliau berkata, sudah terbukti ada negara yang mampu maju meskipun tiada sumber kekayaan hasil bumi berikutan penduduknya berpendidikan, sekali gus menggunakan ilmu dimiliki untuk mencipta dan meneroka pembaharuan.

“Malaysia juga berupaya menjadi negara maju dengan memberi penekanan terhadap pembinaan modal insan berilmu, berkemahiran dan memiliki nilai positif.

“Sejajar bakti dan sumbangan besar dicurahkan guru, perayaan bermakna ini patut dirai bukan hanya oleh pelajar tetapi semua pihak yang pernah mendapat pendidikan,” katanya kepada Berita Harian.

Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-36 akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.

Bagi menghadapi kemajuan dunia yang pantas dalam era globalisasi kini, Alimuddin berkata, guru perlu bersedia menangani tiga cabaran utama dalam perkembangan bidang pendidikan negara.

Katanya, cabaran terbabit ialah pengaplikasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin penting dan meningkat, serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris, terutama dengan pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Selain itu, beliau berkata, guru juga harus menghadapi cabaran masalah disiplin pelajar dalam pada memenuhi tanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan.

“Guru memainkan peranan untuk membantu menyediakan pelajar yang sihat dan sejahtera. Dalam konteks ini, guru perlu memberi kasih sayang kepada pelajar mereka.

“Negara mempunyai lima juta pelajar dari pelbagai latar belakang. Sebenarnya, ada banyak masalah yang mungkin dihadapi ketika berada di luar sekolah.

“Maka ada kala sekolah menjadi tempat bagi sesetengah pelajar mencurahkan rasa terpendam dalam diri mereka. Sehubungan itu, guru hendaklah memberi tumpuan dan kasih sayang kepada pelajar, bukan sekadar mencurahkan ilmu, untuk membentuk diri mereka berupaya menyelesaikan masalah emosi serta peribadi.

“Malah, guru boleh membantu seseorang pelajar berubah daripada bersikap negatif, pesimis dan sedih kepada positif, berani, berkeyakinan diri serta tidak mudah berputus asas.

“Bagi saya, peranan guru amat signifikan. Oleh itu, ambillah kesempatan ini kerana guru umpama penyuluh ke arah kehidupan lebih baik bagi anak-anak kita pada masa depan,” katanya.

Berita Harian

Tiada kompromi guru kuasai ICT

Membestarikan pendidik buka mata masyarakat ke tahap lebih tinggi

Bersama Pengarah Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran, Noor Rezan Bapoo Hashim

PEMBESTARIAN adalah antara agenda utama Kementerian Pelajaran dalam memperkasakan sistem pendidikan negara ke arah mewujudkan status sekolah bestari semua sekolah seluruh negara menjelang 2010. Apakah usaha bahagian sekolah bagi merealisasikannya?

Kami di Bahagian Sekolah tidak akan berkompromi dalam memastikan kira-kira 320,000 guru dilengkapkan dengan kemahiran teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT). Kerajaan sedia membelanjakan berbilion ringgit bagi memastikan semua guru dilengkapi kemudahan berkenaan kerana ia penting sebagai tuntutan arus pembangunan sejagat. Sebelum kerajaan bercadang membestarikan semua sekolah seluruh negara, perkara penting yang perlu diberi perhatian serius adalah membestarikan semua gurunya. Guru perlu lebih inovatif dan bertanggungjawab memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan lancar menerusi penggunaan ICT. Mereka tidak boleh mengharapkan kaedah pembelajaran tradisi dengan hanya bergantung kepada buku teks dan bahan rujukan bercetak. Kegagalan menguasai ICT tidak boleh diterima kerana kerajaan sudah menyediakan peruntukan besar bagi memastikan semua guru mencapai tahap penguasaan penggunaan ICT memuaskan.

Adakah arus pembangunan ICT kini turut menyumbang kepada tuntutan supaya guru perlu bergerak seiring dengan perubahan berkenaan?

Jika guru gagal menguasai ICT, mereka akan ketinggalan. Penguasaan ilmu berkenaan penting kerana ia adalah nilai tambah yang perlu ada bagi setiap individu untuk membolehkan proses P&P dilaksanakan lebih berkesan. Kebanyakan alat bantuan mengajar kini dilengkapi kemudahan ICT. Guru tidak boleh lari daripadanya dan perlu bagi mereka menguasai pengetahuan berkenaan. Semua keperluan serta kemudahan sudah disediakan. Ia terpulang kepada guru itu sendiri untuk merebutnya dalam meningkatkan kemahiran diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tambahan selaras keperluan masa kini.

Adakah langkah mengarahkan guru mengikuti program pembestarian menambahkan lagi beban tugas sedia ada di samping tanggungjawab hakiki sebagai pendidik di sekolah?

Saya tidak nampak perkara ini satu bebanan. Malah guru terutama di kalangan guru muda kini begitu bersemangat mengikuti program ICT. Kesungguhan mereka terbukti apabila masing-masing sanggup menggunakan wang saku sendiri membeli komputer riba untuk kegunaan harian. Walaupun kementerian ada menyediakan kemudahan itu, jumlahnya agak terhad dan mereka terpaksa berkongsi. Bagi guru yang benar-benar berminat, mereka sanggup berkorban dan membelinya untuk keperluan peribadi serta dibawa ke sekolah untuk membantu proses P&P. Saya secara peribadi begitu kagum dengan guru yang mempunyai semangat untuk terus maju kerana mereka yakin kemajuan diperoleh itu bukan untuk diri sendiri malah dapat dikongsi bersama.

Adakah pemberian elaun bagi guru yang perlu mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ini wajar?

Elaun 10 peratus daripada gaji pokok guru yang mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ini, amat wajar. Mereka perlu melengkapkan diri dengan penguasaan bahasa Inggeris sepenuhnya di samping mampu mengendalikan peralatan ICT ketika proses P&P berlangsung. Pemberian elaun itu sebagai imbuhan tambahan kerana guru terbabit terpaksa membuat persiapan awal sebelum memulakan kelas. Tugas mereka bertambah. Mereka perlu mahir dalam penggunaan ICT, di samping perlu lebih inovatif bagi memastikan mereka dapat menyampaikan pelajaran secara lebih interaktif. Setakat ini seramai 120,000 guru sudah menjalani program ICT bagi kursus Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Program yang dikendalikan Time System Intergrator Sdn Bhd (TSI), anak syarikat Time Engineering Bhd (Time) membabitkan empat fasa iaitu fasa kedua hingga kelima, bermula Oktober 2003. Maklum balas mendapati, semua yang terbabit dapat memanfaatkan pengetahuan berkenaan untuk melancarkan proses P&P. Bagi menjayakan program itu saja, kerajaan sudah membelanjakan sejumlah RM1.5 bilion merangkumi kos pengurusan, pengendalian program dan pembelian perkakasan ICT.

Adakah usaha sedemikian membantu kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan dalam usaha memartabatkan profesion perguruan?

Guru seperti penjawat awam lain. Mereka memerlukan sokongan moral untuk terus maju. Tidak kira di mana mereka bertugas sekalipun, termasuk pedalaman, pengetahuan menguasai ICT ini penting. Penguasaan ini menuntut mereka mempelbagaikan kaedah mengajar supaya ia lebih interaktif. Penggunaan ICT adalah antara kaedah terbaik mewujudkan suasana pembelajaran lebih selesa. Ia mewujudkan komunikasi dua hala antara murid dan guru. Pengetahuan mengendalikan perkakasan ICT memberi kredit kepada mereka. Keadaan pendidikan ini lebih holistik. Guru era kini sudah jauh berbeza berbanding 30 tahun lalu. Sebaliknya, arus teknologi sekarang menuntut mereka untuk mempelajari ilmu baru bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar, seiring arus pembangunan masa kini. Guru serba boleh mempunyai nilai tinggi. Kesungguhan mereka membuka mata masyarakat dan membawa mereka ke tahap lebih tinggi sebagai penyandang kerjaya murni mendidik anak bangsa.

Adakah usaha membestarikan guru mendapat sokongan swasta?

Sepanjang tempoh 10 tahu lalu, kementerian dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC) berjaya mewujudkan 88 sekolah bestari seluruh negara dan model itu, akan dijadikan penanda aras kepada 10,000 sekolah seluruh negara membabitkan lima juta pelajar. Kami di bahagian sekolah begitu bernasib baik kerana usaha murni ini mendapat sokongan swasta terutama daripada Time, Advance Micro Devices (AMD) dan syarikat telekomunikasi Maxis. Malah baru-baru ini, syarikat berasaskan ICT Advanced Micro Devices Export Sdn Bhd (AMD) menyediakan teknologi bersepadu dalam mengemas kini Sistem Maklumat Murid (SMM) menerusi teknologi Thin Client (SMM Thin Client). Sejak kerajaan mengumumkan usaha membestarikan sistem pendidikan dalam melonjakkan kecemerlangannya, banyak syarikat tampil menyediakan bantuan sama ada dalam bentuk kepakaran atau perkakasan. Selain itu, menerusi program sekolah angkat membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), antara agenda utama penaja adalah memperkemaskan sistem pengurusan makmal komputer di setiap sekolah bantuan mereka. Sokongan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) juga begitu membanggakan dengan masing-masing sedia menghulurkan pelbagai bentuk bantuan jika permohonan itu menjurus ke arah membestarikan warga sekolah.

Adakah teknologi SMM Thin Client membantu mengemas kini pelajar pelbagai peringkat di seluruh negara?

Sistem ini boleh dipantau pada pelbagai peringkat pengurusan. Bermula dengan pengurusan data murid pada peringkat sekolah, ia dilaksanakan secara dalam talian terus ke Pejabat Pendidikan Daerah sebelum ke Jabatan Pelajaran Negeri. Ia seterusnya dikemaskinikan terus ke Kementerian Pelajaran. Buat masa ini, teknologi SMM Thin Client hanya membabitkan 10 sekolah iaitu di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Menjelang 2008, dijangka ia dapat mengemaskini maklumat lima juta pelajar seluruh negara. Majlis pelancaran SMM Thin Client diadakan di salah satu 10 sekolah rintis Sekolah Kebangsaan Jalan Enam Bandar Baru Bangi, Bangi, baru-baru ini.

Bagi melaksanakannya, kementerian sudah meluluskan peruntukan awal berjumlah RM18 juta dan dana ini akan ditambah dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan. Sistem pangkalan data ini perlu dibangunkan secara menyeluruh kerana kejayaannya mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membestarikan sekolah dan mengangkat kecemerlangan sistem pendidikan negara. Teknologi ini membantu mengurangkan 90 peratus tugas guru dalam menyelaras sistem maklumat murid. Penggunaannya dapat mengurangkan kos dari segi penyelenggaraan komputer peribadi sekolah dan guru penyelia akan dilantik untuk tujuan itu. Ia membantu meningkatkan kaedah pungutan data. Berbanding kaedah pengurusan data sebelum ini, guru hanya dapat mengemas kini data murid pada waktu lapang dan kemudian dieksport kepada pegawai data untuk digabungkan. SMM Thin Client ini membolehkan guru datang ke makmal dan memantau data murid menerusi pangkalan data sedia ada dan pada masa sama mereka boleh mengemas kini sistem berkenaan dalam sistem sedia ada.

Adakah kementerian yakin semua data lima juta pelajar dapat dikemaskinikan dalam tempoh satu tahun mulai sekarang?

Usaha itu pasti berjaya. Keyakinan ini bersandarkan kepada kesungguhan semua pihak melaksanakannya. Sokongan kementerian menerusi peruntukan, manakala pihak swasta pula menyediakan teknologi canggih supaya semua maklumat data dapat dikemas kini. Tugas guru pula memastikan segala maklumat yang dimuatkan itu adalah terkini. Penyelarasan itu akan dipantau dari semasa ke semasa dan semua pihak akan memastikan ia menjalani proses kajian impak. Hasil kajian itu akan dijadikan penanda aras kepada kejayaan aplikasi berkenaan. Tidak dinafikan penggunaan awal kaedah ini membantu mengurangkan bebanan tugas. Penanda aras kejayaan projek rintis 10 sekolah ini akan diguna pakai untuk semua kira-kira 10,000 sekolah seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman dan luar bandar, malah sistem maklumat secara dalam talian ini akan membentuk laman webnya sendiri. Kejayaan awal SSM Thin Client ini akan dibawa ke mesyuarat pengurusan untuk tindakan susulan. Usaha berterusan ini pastinya mampu mengemas kini semua data pelajar seluruh negara dalam satu sistem dalam talian yang lebih komprehensif.

Mengapa kementerian memperkenalkan SMM, apakah kepentingannya dalam meningkatkan keberkesanan sistem pendidikan negara?

Sistem ini sudah diwujudkan sejak sekian lama, namun kaedah pengumpulannya berbeza. Dulu ia dimuatkan dalam buku laporan murid yang perlu dikemaskinikan dari semasa ke semasa dan kaedah manual digunakan, sekali gus menambahkan lagi tugas guru. Maklumat itu kemudian diinput dalam komputer menerusi sistem simpanan menggunakan disket. Setiap kali guru hendak mendapatkan maklumat murid, mereka akan membuka disket. Perubahan teknologi menjadikan urusan mengemas kini pelajar semakin mudah. Segala maklumat diperoleh dalam talian menerusi sistem lebih teratur. Guru hanya perlu memasukkan data pelajar dan maklumat mengenainya diperoleh seperti bantuan diterima murid melalui Program Makanan Tambahan, Projek Susu Sekolah, Skim Baucar Tuisyen, malah kegiatan ko-kurikulum pelajar juga dimuatkan dalam satu fail.

Selain memudahkan, sistem ini juga melancarkan urusan terutama jika pelajar berkenaan mengemukakan permohonan ke institusi pengajian tinggi tempatan. Segala maklumat diperoleh secara terus. Pengurusan data murid secara bersepadu ini juga mencerminkan keupayaan kepemimpinan pengetua dan guru besar dalam membudayakan penggunaan komputer sekolah. Dengan pelaksanaan sistem ini, pentadbir dan kementerian boleh mendapatkan maklumat terkini dengan lebih cepat dan tepat.

Berita Harian

Pusat Akses Sekolah

KLUANG 1 Okt. – ‘Kafe siber’ di sekolah. Ia akan menjadi realiti sepenuhnya tidak lama lagi apabila Kementerian Pelajaran membekalkan 10 unit komputer di hampir semua 10,000 sekolah menengah dan rendah di seluruh negara.

Ia akan dikenali sebagai Pusat Akses Komputer, yang konsepnya sama seperti kafe siber.Melalui pusat itu para pelajar akan menggunakan kemudahan tersebut untuk membuat tugasan sekolah.

Pusat ini berbeza dengan makmal komputer yang sedia ada di sekolah-sekolah, yang kegunaannya adalah mengikut jadual waktu persekolahan.

Menurut menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, sebanyak 1,500 buah sekolah dengan 15,000 unit komputer, 1,500 unit pencetak, perabot dan infrastruktur dengan kos sebanyak RM70 juta terlibat dalam fasa pertama.

Beliau menambah, pelaksanaannya telah bermula di 51 buah sekolah rendah dan menengah di luar bandar Sabah termasuk 10 sekolah dalam Parlimen Kalabakan di negeri itu manakala 33 buah sekolah lagi di Johor.

Dalam fasa seterusnya tahun depan, beliau berkata, sebanyak 12,900 unit komputer lagi bakal dibekalkan kepada 1,290 sekolah secara berperingkat.

“Berbeza dengan makmal komputer, Pusat Akses Komputer memberi ruang kepada pelajar mengenali ICT dan pada masa yang sama ia mungkin boleh dikongsi oleh ibu bapa, satu hari kelak.

“Menerusi pendekatan ini, nisbah komputer terhadap murid-murid di sekolah dapat dikurangkan, usaha membudayakan ICT dapat dipertingkatkan sekali gus merapatkan jurang pelajar luar bandar dan bandar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong menyatakan demikian kepada pemberita pada majlis tadarus al-Quran, berbuka puasa dan penyampaian sumbangan untuk penduduk dalam kawasan Parlimen itu di Masjid Felda Ulu Belitong, dekat Kluang, semalam.

Majlis itu adalah anjuran UMNO Sembrong, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sembrong dengan kerjasama Unit Seranta Felda, Jabatan Perdana Menteri.

Hadir sama ialah isteri beliau, Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kahang, S. Ramis.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, pusat-pusat akses akan lebih banyak diwujudkan di sekolah luar bandar kerana sekolah di bandar sudah jauh ke depan dalam menikmati kemudahan ICT sama ada dibekalkan oleh kerajaan atau pihak ketiga.

Menyedari pendekatan itu sekolah-sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak telah mula dibekalkan generator berkuasa 30 Watt yang baru dan generator lama dinaik taraf sebagai bekalan elektrik termasuk air bersih, semuanya selesai paling cepat menjelang tahun depan, jelas beliau.

“Agenda ini penting, kalau tiada elektrik tiada guna dibekalkan komputer, seperti yang berlaku dulu dengan menganggap semua sekolah sama taraf tetapi banyak sekolah tiada bekalan elektrik ia menjadi pembaziran kepada kerajaan,” katanya.

Beliau juga memberitahu, Kementerian Pelajaran menyerahkan kepada budi bicara pihak sekolah untuk mewujudkan pusat akses itu yang dilihat bukanlah satu masalah besar selain mengekalkan makmal komputer yang sedia ada.

Kebimbangan kini ialah faktor keselamatan terhadap komputer-komputer yang dibekalkan dan Hishammuddin mengakui sendiri jika berlaku kehilangan ia mengambil masa yang lama untuk menggantikannya.

“Soal keselamatan perlu diambil kira kerana selepas program ini selesai, isu dari segi insurans, sewa atau jual beli serta menaik taraf kemudahan tersebut masih dalam perbincangan,” katanya.

Namun lebih meresahkan beliau ialah jika segala kemudahan yang disediakan tidak diakses menyebabkan perancangan kerajaan untuk melahirkan masyarakat celik komputer terbantut.

ICT: Lebih banyak sekolah pedalaman terlibat

Ditulis Oleh R&D BTP
Wednesday, 18 April 2007

PUTRAJAYA 15 April – Sekolah-sekolah di kawasan pedalaman dan luar bandar akan mendapat lebih banyak pendedahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) apabila Program Pembestarian Sekolah mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM72 juta.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peruntukan tersebut adalah bagi mewujudkan sebanyak 1,600 pusat akses Internet sebagai tambahan kepada 2,000 pusat akses yang dirancang oleh kementerian itu.

Beliau berkata, kementeriannya juga memperuntukkan sebanyak RM82 juta bagi mengadakan kelengkapan telepersidangan, kemudahan telefon satelit dan faks tanpa talian selain meningkatkan keupayaan talian di lebih 5,800 buah sekolah di luar bandar dan pedalaman.

“Melalui Program Pembestarian Sekolah, saya berharap kementerian akan dapat mengubah cara guru mengajar dan murid belajar, cara guru menilai dan mentaksir kebolehan murid serta cara pentadbir sekolah mengurus dan mentadbir sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hishammuddin, di kelas-kelas prasekolah pula, sebanyak RM72.1 juta diperuntukkan bagi membekalkan lima unit komputer meja bagi pembelajaran 25 orang pelajar di dalam kelas tersebut.

Selain itu, kata beliau, sebanyak RM113 juta lagi diperuntukkan bagi mengadakan perisian kursus yang bersesuaian untuk membantu guru dan murid yang terlibat.

“Bagi memastikan sekolah mempunyai kemudahan komputer, untuk sekolah-sekolah yang tidak mempunyai ruang dan sekolah kurang murid (SKM) di kawasan pedalaman, bilik komputer atau makmal komputer menggunakan konsep kabin akan disediakan,” kata beliau.

Infrastruktur

Beliau menjelaskan, dalam usaha untuk membestarikan semua sekolah kerajaan, kementerian berusaha menyediakan infrastruktur dan membekalkan perkakasan ICT serta mengadakan akses Internet jalur lebar untuk sekolah dan membangunkan rangkaian setempat.

Tambah beliau, kementeriannya juga berusaha membangun dan membekalkan sekolah dengan pelbagai aplikasi pengurusan, perisian kursus, bahan multimedia dan program TV Pendidikan untuk pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, kementerian itu juga mengadakan program latihan bagi meningkatkan keupayaan guru untuk mengintegrasikan ICT dalam pendidikan dan program pengurusan perubahan untuk mempersiapkan pentadbir sekolah.

Dalam pada itu, sebanyak 88 buah Sekolah Bestari akan dimantapkan untuk dijadikan penanda aras kepada Program Pembestarian Sekolah, selain menjalinkan kerjasama dengan agensi dan pihak luar termasuk pihak-pihak swasta bagi mempercepatkan proses pembestarian.

Menjelaskan jumlah perkakasan yang telah disediakan di seluruh sekolah di bawah kementerian berkenaan, Hishammuddin berkata, setakat ini, sebanyak 5,266 buah makmal komputer dan 1,584 buah pusat akses sudah dibina dengan 15,840 unit komputer meja dibekalkan ke sekolah-sekolah yang terlibat.

Di bawah projek School-Net pula, kata beliau, sebanyak 9,349 buah sekolah dan institusi pendidikan telah dihubungkan dengan kemudahan jalur lebar atau 97 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah.

‘‘Baki tiga peratus itu ialah sekolah pedalaman yang tidak mempunyai bekalan elektrik yang mencukupi dan kementerian akan membekalkan set generator berkapasiti 30-35 kVA atau melalui penggunaan teknologi solar hibrid sebelum merangkaikan kesemuanya dengan School-Net,” kata beliau.

Bagi Program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pula, beliau berkata, sebanyak 173,000 unit komputer riba, 18,000 unit komputer meja, 114,000 unit projektor LCD dan 21,000 unit pencetak telah dibekalkan kepada sekolah-sekolah.

Dari segi perisian kursus pula, beliau berkata, kementeriannya men- yediakan lebih pada dari 5,245 judul membabitkan pembelajaran dan pengajaran manakala untuk program tv Pendidikan, sebanyak 3,645 rancangan kurikulum disediakan.

Kata Hishammuddin, bagi memastikan semua perkakasan tersebut dapat digunakan, kementeriannya telah memberikan latihan kepada 248,000 orang guru daripada peringkat asas sehinggalah ke tahap lanjutan.

“Melalui pembangunan makmal komputer dan penyediaan pusat akses di sekolah-sekolah, sasaran kementeriannya adalah untuk mengurangkan nisbah nasional komputer kepada murid daripada 1:40 kepada sekurang-kurangnya 1:20 dan menjadikan nisbah nasional komputer kepada guru sekurang-sekurangnya 1:2,” kata beliau.

© UTUSAN MELAYU (M) BHD.,

TV Web ganti TV Pendidikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan membangunkan TV Web bagi menggantikan siaran TV Pendidikan dalam usaha merapatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan pedalaman.

Projek itu yang bertujuan memudahkan murid dan guru di pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak mengakses saluran pendidikan, akan dilaksanakan menerusi peruntukan RM186 juta.


Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan & Pembangunan) Kementerian Pelajaran, Datuk Fatimah Md Deni, berkata TV Web yang dijangka beroperasi tahun ini, selaras perkembangan pesat teknologi maklumat (ICT) di negara ini.

“Sekarang masa paling sesuai merevolusikan TV Pendidikan supaya dapat diakses murid dan guru seluruh negara tanpa masalah kekangan masa,” katanya selepas mesyuarat penyelarasan Jabatan Pendidikan Khas dan Guru Besar sekolah murid Orang Asli dan Penan, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini, siaran TV Pendidikan terbatas dari jam 9 pagi hingga 11.30 pagi yang disiarkan melalui saluran TV9 yang juga boleh diakses menerusi Astro.

“Guru dan murid di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak selalu mengutarakan pelbagai masalah untuk mengikuti pembelajaran melalui TV Pendidikan termasuk masa tayangannya yang terhad,” katanya.

Beliau berkata, isi kandungan TV Web akan mengekalkan kandungan TV Pendidikan sedia ada tetapi disuntik beberapa elemen baru yang menumpukan kepada proses pembelajaran dan pengajaran yang akan disediakan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP).

Fatimah yang juga Pengerusi Teras Keempat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) berkata, pelaksanaan TV Web akan disegerakan bagi merapatkan jurang antara pelajar bandar dan luar bandar.

Beliau berkata, lima usaha merapatkan jurang pendidikan pelajar termasuk memberi tumpuan kepada lokasi, pembangunan digital, pencapaian murid, murid normal dan keperluan khas, serta sosioekonomi.

Mengenai hasil mesyuarat itu, beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu kumpulan minoriti itu termasuk tinjauan di 96 sekolah Orang Asli dan Penan bagi mengetahui sama ada sekolah terbabit mempunyai infrastruktur mencukupi.

Berita Harian

Salam Mesra Untuk Pusat Sumber Cemerlang

Adalah diharapkan dengan adanya laman blog ini yang diselenggara oleh Pusat Kegiatan Guru JQA1004 Tasek Utara, Johor Bahru sebarang info terkini akan dapat disalurkan dengan lebih cepat dan tepat. Untuk makluman pihak sekolah e-mel rasmi Pusat Kegiatan Guru Tasek Utara adalah pkg_tasek_utara@moe.edu.my dan 'cc'kan sebarang e-mel yang dikirim ke jqa1004@yahoo.com.

Pusat Kegiatan Guru JQA1004 Tasek Utara,
Jalan Tun Abdul Razak, Susur 7,
80604 Johor Bahru,
Johor.
+607-2362209
Fax > +607-2362209
>pkg_tasek_utara@moe.edu.my
>jqa1004@yahoo.com
- blog ]jqa1004.blogspot.com[

Pegawai Teknologi Pendidikan 1
Mohd Azami bin Yasin
+6012-7369972
+6019-7547276

Pegawai Teknologi Pendidikan 2
Muhamad Nzery bin Mat Nor
+6012-7340223
+6019-7796771

"TEKNOLOGI UNTUK PENDIDIKAN BESTARI"