Thursday, May 10, 2007

19 KSC naik taraf bestari

Oleh Azrina Ahzan

Kementerian suntik unsur kepemimpinan, kemudahan ICT

KEMENTERIAN Pelajaran akan membestarikan 19 sekolah kluster atau Kelompok Sekolah Cemerlang (KSC) yang belum mencapai status itu menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata langkah itu sejajar usaha menjadikan sekolah kluster penanda aras usaha pembestarian sekolah seperti yang dinyatakan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Katanya, ketika ini, 11 daripada 30 sekolah kumpulan pertama KSC yang diumumkan Mac lalu sudah dikategorikan sebagai sekolah bestari.

"Justeru, baki 19 sekolah itu perlu dilengkapkan dengan kemudahan komputer atau disuntik unsur kepimpinan dan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) supaya mencapai tahap sekolah bestari," katanya selepas pelancaran Program Perkongsian Pintar Ke Arah Pembestarian Sekolah di Putrajaya, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Badlisham Ghazali; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Ahamad Sipon; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Mimi Ismail; Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan, Datuk Dr Yusuf Harun dan Pengerusi Lembaga Penasihat Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad.

Ketika ini, terdapat 88 sekolah bestari di seluruh negara hasil pelaksanaan aplikasi perdana projek Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia) yang dilancarkan 10 tahun lalu.

Hishammuddin berkata, Kementerian Pelajaran juga akan mengenal pasti semua sekolah yang menyertai program sekolah angkat untuk mengelak pertindihan.

"Kementerian mahu memastikan segala bantuan yang disalurkan syarikat swasta sampai kepada sekolah yang memerlukan," katanya.

Program sekolah angkat adalah susulan program pembestarian sekolah yang membolehkan pihak swasta seperti Intel, AMD dan Time Engineering menghulurkan bantuan kewangan, perisian dan tenaga kerja bagi melatih guru dan pelajar menggunakan kemudahan ICT yang disediakan di sekolah terbabit.

Hishammuddin juga mengingatkan semua pihak yang terbabit dalam program pembestarian sekolah menunaikan tanggungjawab masing-masing dan menggunakan Standard Kelayakan Sekolah Pintar (SSQS) sebagai panduan.

Dalam ucapannya, Hishammuddin berkata, pembabitan sektor swasta amat penting bagi memastikan kejayaan agenda pendidikan negara, terutama PIPP 2006-2010 yang dilancarkan awal tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, masalah kekurangan maklumat, pertindihan program, perancangan tidak tepat dan ketiadaan mekanisme jelas menyebabkan program bersama pihak swasta gagal diteruskan, walaupun mencatatkan kejayaan.

"Justeru, kementerian akan mempakej setiap inisiatif pihak luar supaya setiap sumbangan dapat diselaraskan secara strategik bagi memaksimumkan impaknya dan mengelakkan pertindihan serta pembaziran," katanya.

Berita Harian

No comments: