Thursday, May 10, 2007

Pembestarian Sekolah

Kilasan: Pembestarian sekolah dapat kurangkan beban tugas guru


SARANAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar pihak pentadbir sekolah mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sekurang-kurangnya aplikasi paling asas, agak memeranjatkan.


Apakah masih ada pentadbir sekolah yang tersisih daripada penggunaan ICT setelah kira-kira 10 tahun Kementerian Pelajaran melaksanakan konsep sekolah bestari di negara ini? Walaupun sekolah bestari terhad kepada 88 sekolah, tetapi kempen penggunaan ICT, tersebar luas mencakupi hampir semua kira-kira 10,000 sekolah seluruh negara.

Ini terbukti dengan pembinaan makmal komputer membabitkan 5,000 sekolah dan 133,000 unit komputer dan 4,700 server, manakala pengenalan pengajaran dan pembelajaran (P&P) subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris yang kini masuk tahun kelima, membawa ICT kepada semua sekolah rendah dan menengah apabila setiap guru subjek terbabit dibekalkan dengan komputer riba dan sekolah pula projektor cecair kristal (LCD).

Apabila seluruh negara digegarkan dengan perancangan penggunaan ICT di sekolah, maka sangat menghairankan kerana masih ada pentadbir sekolah yang jahil aplikasi asas teknologi itu termasuk e-mel, word processor dan pelayar internet.

Kita berharap selepas teguran Najib itu, organisasi yang menjadi payung kepada guru besar dan pengetua, iaitu Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia dan Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah-sekolah Menengah Malaysia akan memastikan setiap ahlinya tidak lagi terasing daripada arus ICT yang kini sudah pun dikuasai murid peringkat tadika.

Ia di samping langkah wajar yang akan diambil pihak berkaitan dalam Kementerian Pelajaran bagi menaik taraf guru besar dan pengetua dalam penggunaan teknologi penting itu.

Kita berharap, selain P&P pihak pentadbir sekolah dapat mengaplikasi penggunaan teknologi itu dalam pentadbiran dan pengurusan secara maksimum.

Pada masa ini hampir semua sekolah dibekalkan set komputer peribadi untuk digunakan dalam pentadbiran dan pengurusan. Jadi janganlah mengehadkan penggunaannya kepada fungsi mesin taip semata-mata.

Sekiranya kecanggihan teknologi komputer diaplikasikan, banyak aspek pengurusan sekolah terutama yang berkaitan data dan maklumat dapat ditingkatkan. Contohnya, pendaftaran pelajar seharusnya diprogramkan menggunakan komputer melalui software khusus yang dibina.

Dengan itu sebarang data mengenai pendaftaran murid boleh dicapai dengan hanya sekali klik. Jadi kerani sekolah tidak perlu lagi menyelongkar timbunan fail dalam almari apabila menghendaki sesuatu maklumat berkaitan pelajar.

Aplikasi ICT juga hendaklah mencakupi guru yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan. Jika ia dilaksana, sudah tentu akan memberi kesan dari segi mengurangkan beban tugas guru yang selama ini sentiasa menjadi rungutan terutama kesatuan guru tertentu.

Ambil contoh buku ringkasan mengajar, iaitu dokumen wajib digunakan sebagai bukti guru menjalankan tanggungjawab mengajar. Sejak zaman silam lagi, guru dikehendaki mengisi pelbagai maklumat secara manual, termasuk menyalin berpuluh-puluh muka surat sukatan pelajaran dan rancangan mengajar tahunan bagi mata pelajaran diajar pada tahun berkenaan.

Selain itu, guru mata pelajaran juga terpaksa mengisi rancangan mengajar mingguan setiap minggu dan harian. Semua catatan itu dipersetujui, termasuk Jemaah Nazir, supaya dicatat dengan lengkap, bagaikan sebuah karangan. Kerja ini terpaksa dilakukan walaupun 10 tahun seseorang guru mengajar mata pelajaran yang sama.

Mengapakah buku ringkasan mengajar tidak boleh digantikan dengan teknologi komputer? Guru cuma memasukkan maklumat sekali saja. Maklumat berkenaan hanya perlu diubah sedikit atau disesuaikan apabila guru mahu menggunakan untuk kali kedua.

Demikian juga dengan penggunaan komputer riba dalam pengajaran Matematik dan Sains. Penggunaannya amat tidak menggalakkan kerana masalah yang sama seperti kesuntukan masa dan kesukaran untuk membawa serta memasang peralatan itu dari satu kelas ke kelas lain.

Pihak Pusat Perkembangan Kurikulum yang memperkenalkan kaedah itu sepatutnya sudah mengemukakan kaedah mengatasinya paling lama selepas setahun ia dilaksanakan, selain kreativiti yang diterokai sekolah sendiri.

Ada pihak beranggapan, dengan kemasukan PTD ke jabatan pelajaran negeri seperti dicadangkan itu, akan berlaku pembestarian dalam pengurusan dan pentadbiran pelbagai jaringan Kementerian Pelajaran secara drastik termasuk peringkat sekolah.

Ini kerana seperti ditegaskan Ketua Pengarah Pelajaran, mereka adalah pakar dalam bidang pengurusan dan pentadbiran yang sudah tentu akan menjadikan ICT sebagai instrumen penting bagi menambah baik pentadbiran dan pengurusan sekolah.

Berita Harian

No comments: