Thursday, May 10, 2007

3 cabaran utama pendidikan

Isu aplikasi ICT, bahasa Inggeris, disiplin pelajar perlu bijak ditangani

KIRA-KIRA 380,000 guru yang akan menyambut Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2007, 16 Mei ini, harus muhasabah diri dengan mengimbau perkembangan pesat bidang pendidikan negara sepanjang tempoh 50 tahun menikmati kemerdekaan.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata inisiatif itu boleh mencetus motivasi, inspirasi dan semangat kepada mereka untuk mempertingkat kerja yang dapat memanfaatkan pelajar.

Katanya, guru memainkan peranan penting sebagai penjana modal insan gemilang seperti tema perayaan yang dilengkapi dengan ucapan `terima kasih cikgu’.

Beliau berkata, sudah terbukti ada negara yang mampu maju meskipun tiada sumber kekayaan hasil bumi berikutan penduduknya berpendidikan, sekali gus menggunakan ilmu dimiliki untuk mencipta dan meneroka pembaharuan.

“Malaysia juga berupaya menjadi negara maju dengan memberi penekanan terhadap pembinaan modal insan berilmu, berkemahiran dan memiliki nilai positif.

“Sejajar bakti dan sumbangan besar dicurahkan guru, perayaan bermakna ini patut dirai bukan hanya oleh pelajar tetapi semua pihak yang pernah mendapat pendidikan,” katanya kepada Berita Harian.

Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-36 akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.

Bagi menghadapi kemajuan dunia yang pantas dalam era globalisasi kini, Alimuddin berkata, guru perlu bersedia menangani tiga cabaran utama dalam perkembangan bidang pendidikan negara.

Katanya, cabaran terbabit ialah pengaplikasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin penting dan meningkat, serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris, terutama dengan pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Selain itu, beliau berkata, guru juga harus menghadapi cabaran masalah disiplin pelajar dalam pada memenuhi tanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan.

“Guru memainkan peranan untuk membantu menyediakan pelajar yang sihat dan sejahtera. Dalam konteks ini, guru perlu memberi kasih sayang kepada pelajar mereka.

“Negara mempunyai lima juta pelajar dari pelbagai latar belakang. Sebenarnya, ada banyak masalah yang mungkin dihadapi ketika berada di luar sekolah.

“Maka ada kala sekolah menjadi tempat bagi sesetengah pelajar mencurahkan rasa terpendam dalam diri mereka. Sehubungan itu, guru hendaklah memberi tumpuan dan kasih sayang kepada pelajar, bukan sekadar mencurahkan ilmu, untuk membentuk diri mereka berupaya menyelesaikan masalah emosi serta peribadi.

“Malah, guru boleh membantu seseorang pelajar berubah daripada bersikap negatif, pesimis dan sedih kepada positif, berani, berkeyakinan diri serta tidak mudah berputus asas.

“Bagi saya, peranan guru amat signifikan. Oleh itu, ambillah kesempatan ini kerana guru umpama penyuluh ke arah kehidupan lebih baik bagi anak-anak kita pada masa depan,” katanya.

Berita Harian

No comments: