Thursday, May 10, 2007

Tiada alasan lagi guru tak mampu miliki komputer

Oleh Azrul Affandi Sobry


KETIKA Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Fatimah Md Deni mengumumkan lebih 300,000 guru sekolah rendah dan menengah di seluruh negara berpeluang memiliki komputer riba apabila kementerian memperkenalkan skim pinjaman atau pembiayaan 50-50, pastinya ramai guru berasa lega dan tidak sabar menunggu pelaksanaannya.
Kenyataan Fatimah menunjukkan beliau akur dengan keluhan ramai guru subjek lain yang tidak dibekalkan komputer riba sehingga ada menyatakan kementerian pilih kasih dan hanya mengutamakan guru Sains dan Matematik. Setakat ini kementerian hanya membekalkan komputer riba kepada guru subjek terbabit selain guru yang menjalankan tugas khas lain seperti setiausaha peperiksaan, penyelaras Hal Ehwal Murid dan Sistem Maklumat Pengurusan Pelajaran (EMIS).

Jika diperhalusi rintihan guru selama ini, kementerian perlu mengakui hakikat kerana guru selama ini dibebani pelbagai tugas yang memerlukan mereka menggunakan komputer seperti merekod data.

Selain itu, guru juga memerlukan komputer untuk memudahkan mereka menyediakan bahan bantu mengajar selain kadangkala perlu menyiapkan pelbagai laporan yang diminta pihak sekolah. Tidak cukup dengan itu, guru sewajarnya menguasai kemahiran teknologi maklumat (ICT) kerana nampaknya kementerian kini begitu agresif menjadikan ICT sebagai kepentingan yang diberi perhatian.

Jelas sekali keperluan guru memiliki komputer peribadi bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk urusan rasmi sekolah. Benar, memang setiap sekolah disediakan makmal komputer dan guru boleh menggunakannya, namun adakah komputer di situ memenuhi keperluan guru dan relevan untuk kegunaan harian guru?

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, berkata sepanjang pemerhatiannya, hampir semua sekolah berdepan dengan masalah penyelenggaraan komputer dan boleh dikatakan banyak komputer di makmal tidak dapat digunakan kerana pelbagai masalah.

“Selain jumlah komputer terhad, peraturan makmal yang ketat juga sering menyebabkan guru tidak dapat menggunakan komputer pada masa diperlukan. Apabila jadual yang membolehkan mereka menggunakan komputer, pada masa sama guru berkenaan perlu mengajar di kelas hingga menyukarkan mereka menyiapkan tugasan.

“Kebanyakan guru lebih selesa menyiapkan kerja di luar waktu persekolahan seperti pada waktu malam, tetapi mustahil mereka boleh menggunakan makmal komputer pada waktu malam. Jelas sekali, semua guru perlu mempunyai komputer sendiri,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, walaupun kerajaan ada menyediakan skim pinjaman untuk pembelian komputer, adakah wajar guru menanggung beban hutang untuk menjalankan urusan sekolah. Jika guru terpaksa berhutang, itu sudah menjadi hak peribadi sedangkan tidak ramai guru yang menggunakan komputer untuk urusan peribadi.

“Malah, bukan semua orang suka berhutang. Sehubungan itu, langkah kementerian yang mahu memperkenalkan skim bayaran 50-50 itu wajar disegerakan untuk menangani masalah ini,” katanya.

Guru juga kadangkala dibebani arahan menghadiri kursus dengan membawa komputer riba sendiri. Masalahnya, bagaimana mereka boleh membawa komputer sedangkan mereka tidak memilikinya. Memang guru boleh meminjam daripada guru Sains dan Matematik (PPSMI), tetapi sering kali pula mereka berdepan masalah kerana guru PPSMI juga hendak menggunakan komputer bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Dalam usaha kementerian menggalakkan perkembangan ICT di sekolah sehinggakan baru-baru ini Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengumumkan untuk memperluaskan pengetahuan ICT pada peringkat prasekolah pula, tidakkah mereka sedar bahawa kepentingan yang lebih utama adalah memastikan semua guru menguasai kemahiran ICT terlebih dulu.

Teringat kata-kata bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, “untuk memastikan hasrat kerajaan membina modal insan, kita perlu memastikan insan di negara ini mampu dijadikan modal. Untuk menjadikan mereka modal, kita memerlukan modal lain untuk menyuntik kemampuan mereka dan modal itu adalah pendidikan. Untuk menyampaikan pendidikan pula, kita memerlukan pendidik yang berkemahiran”. Jadi, jelas sekali sebelum ICT diperluaskan kepada semua peringkat, pendidik perlu menguasai bidang itu sepenuhnya.

Namun, semua pihak perlu sedar, untuk menguasai bidang yang bersifat kemahiran itu, latihan berterusan diperlukan dan ia mustahil dicapai jika guru tidak mempraktikkannya selalu di rumah dan di tempat kerja. Berilah pelbagai kursus sekalipun, tetapi jika peluang mempraktikkannya terhad, semua kursus itu adalah sia-sia.

Sehubungan itu, Anuar berkata, guru perlu memiliki komputer riba 24 jam dan bukan terpaksa beratur menunggu giliran di makmal sehingga kadangkala gagal menyiapkan kerja yang diberi tepat pada masanya. Kadangkala kerana terpaksa menyiapkan kerja di makmal, urusan mengajar yang lebih penting tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Jika kementerian memandang serius perkara ini, pengumuman Fatimah itu wajar dilaksanakan segera. Jangan sekadar membuat pengumuman gembira, tetapi pelaksanaannya terus senyap tanpa berita. Semua warga pendidik tetap menaruh harapan agar cadangan kementerian menjadi kenyataan.

“Jika hendak menyahut seruan kerajaan, satu rumah satu komputer, pendidik terlebih perlu perlu mempunyai komputer. Jangan nanti, murid lebih mahir menggunakan komputer sedangkan guru terpinga-pinga mengingati kembali kaedah menggunakan komputer yang jarang dipraktikkan,” katanya.

Berita Harian

No comments: