Thursday, May 10, 2007

Kementerian nilai tahap guna ICT di sekolah


BAHAGIAN Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pelajaran, akan menggubal instrumen khusus bagi mengenal pasti impak daripada tahap penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah seluruh negara.

Pengarahnya, Datuk Yusoff Harun, berkata penilaian itu membabitkan tahap penggunaan ICT oleh warga sekolah secara menyeluruh, termasuk pihak pengurusan, guru serta pelajar.

Dalam konteks ini, beliau berkata, tahap penggunaan ICT dalam pelbagai urusan di sekolah meliputi pentadbiran serta pengajaran dan pembelajaran (P&P), akan diukur menerusi Standard Kelayakan Sekolah Bestari (SSQS).

“Berikutan SSQS hanya mengukur tahap penggunaan ICT di sekolah, satu instrumen khas diperlukan untuk mengenal pasti impak daripadanya pula.

“Antara lain mengenal pasti peratusan penggunaan ICT itu menyumbang ke arah menjadikan proses P&P lebih berkesan,” katanya selepas merasmikan Program Pembestarian Fokus Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2007 anjuran Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kelmarin.

Hadir sama Mohd Sanusi Saseetharan Abdullah yang menjalankan tugas Ketua Penolong Pengarah PSPN berkenaan.

Yusoff berkata, BTP juga sudah memulakan kerja pemantauan tahap penggunaan ICT terhadap 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Katanya, penilaian itu dibuat berdasarkan instrumen SSQS yang diumumkan Menteri Pelajaran baru-baru ini sebagai penanda aras pembestarian sekolah.

Melalui penggunaan instrumen itu, markah diberi berdasarkan empat petunjuk utama, iaitu penggunaan ICT dalam pengajaran, pembelajaran dan pentadbiran sekolah (40 peratus), keupayaan pentadbir, guru dan pelajar mengintegrasikan ICT dalam tugasan harian (30 peratus), kandungan dan sistem berdasarkan ICT sedia ada di sekolah (20 peratus), serta infrastruktur teknologi sedia ada di sekolah (10 peratus).

Beliau berkata, usaha berkenaan bermula sebaik saja ia diumumkan dengan membabitkan penggemblengan tenaga PSPN serta pusat kegiatan guru (PKG), di samping kerjasama Jemaah Nazir Sekolah, jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah.

“Pemantauan itu akan dilakukan sekurang-kurang dua kali setahun terhadap setiap sekolah. Daripada hasil penilaian berkenaan, setiap sekolah akan diberi penggredan bintang mengikut tahap penggunaan ICT masing-masing.

“Bagi sekolah yang didapati rendah tahap penggunaan teknologi maklumat, kita akan mengenal pasti punca dan berusaha membantu mengatasi kekangan atau kelemahan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Yusoff berkata, PSPN di seluruh negara juga dalam proses pertukaran nama kepada BTP Negeri dengan diketuai seorang Pengarah berbanding Ketua Penolong Pengarah ketika ini.

Beliau berkata, pertukaran nama itu bertujuan memberi imej lebih jelas kepada masyarakat mengenai peranan PSPN dan juga PKG yang beroperasi di bawah BTP.

Berita Harian

No comments: