Thursday, May 10, 2007

Penggredan bintang ICT sekolah diperkenal

Pengenalan sistem pastikan pelaburan kerajaan dimanfaat

DABONG: Kementerian Pelajaran akan melaksanakan sistem penarafan bintang bagi menilai tahap penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di semua sekolah seluruh negara.

Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pelajaran, Datuk Yusoff Harun, berkata mekanisme sistem penarafan bintang itu sudah wujud dan akan dilancarkan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, esok.

Katanya, penggredan bintang seperti hotel itu akan menyaksikan sekolah yang tinggi tahap penggunaan ICT sehingga mencapai 80 peratus ke atas akan diberikan lima bintang.

“Sekolah yang kurang atau lembab penggunaan ICT, akan diberikan taraf satu atau dua bintang dan seterusnya. Kita melihat di mana sekolah bertaraf lima bintang atau satu bintang sebaik sistem ini diperkenalkan nanti,” katanya selepas merasmikan program capaian internet tanpa wayar di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Dabong, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dabong, Datuk Ramzi Ab Rahman.

Pelancaran program capaian internet tanpa wayar di Dabong itu mencipta sejarah negara kerana ia yang pertama diperkenalkan Kementerian Pelajaran di negara ini.

Program itu membolehkan pelajar sekolah dan juga masyarakat setempat menggunakan komputer serta melayari internet, sekali gus menghubungkan Dabong yang terletak di pedalaman Kelantan dengan dunia luar.

Pada majlis itu juga, Dabong secara rasminya dihubungkan ke dunia antarabangsa apabila Hanafisah Ismail, 46, menghubungi anaknya, Siti Nabilah Mohd Zen, 21, yang menuntut di Universiti Nottingham, United Kingdom (UK) secara dalam talian.

Yusoff berkata, pengenalan sistem itu juga untuk memastikan pelaburan dilakukan kerajaan dalam menyediakan kemudahan ICT agar dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru besar, kakitangan dan pelajar sekolah.

“Kerajaan membuat pelaburan besar menyediakan kemudahan ICT di setiap sekolah dan kita kesan ada sekolah menggunakan kemudahan itu secara ala kadar dan ini satu pembaziran besar,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya menjangkakan, menjelang akhir tahun ini sasaran mewujudkan 3,000 jumlah pusat akses internet di sekolah seluruh negara tercapai.

Katanya, sehingga kini ada 1,584 pusat akses internet itu termasuk di Sabah dan Sarawak iaitu 30 peratus daripada matlamat 10,000 buah pusat berkenaan.

“Kami menjangkakan jumlah itu mampu dicapai apabila kerajaan meluluskan peruntukan baru berbanding peruntukan RM120 juta diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9),” katanya.

Berita Harian

No comments: