Thursday, May 10, 2007

Standard pembestarian sekolah kita diiktiraf dunia

Oleh Norliza Abdullah


KONSEP Sekolah Bestari diperkenalkan Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC) menerusi 88 sekolah sejak 10 tahun lalu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam melonjakkan kecemerlangan pendidikan menerusi e-pembelajaran dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Jika konsep itu diguna pakai di semua 10,000 sekolah seluruh negara, nescaya usaha Malaysia untuk berada sebaris negara maju sebagai pelopor penggunaan ICT dalam pendidikan menjelang 2010 menjadi kenyataan.

Penyelaras ICT institusi pendidikan swasta United Kingdom (UK), Joseph Whittaker, berkata pembabitan Malaysia sejak 10 tahun lalu dalam bidang itu memerlukan sokongan semua pihak. Jika usaha itu berjalan lancar, katanya, pasti Malaysia berada pada landasan kukuh dalam usahanya membestarikan pelajar.

Bagaimanapun, tidak mustahil menjelang 2010, standard pembestarian sekolah di Malaysia berada pada kedudukan sebaris UK, walaupun secara umumnya negara itu kini pada kedudukan antara paling maju di kalangan kelompok kuasa besar Amerika Syarikat, Jepun dan Australia.

“Kesungguhan kerajaan dan kerjasama mantap sektor swasta mempercepatkan usaha Malaysia membestarikan sistem pendidikannya. Selain Singapura, berbanding dengan negara lain di Asia Tenggara, Malaysia berada di tangga teratas sebagai pelopor ICT serantau,” katanya.

Pemerhatian beliau sepanjang bertugas di negara ini mendapati usaha bersungguh-sungguh semua pihak terutama swasta, ibu bapa dan pelajar mampu meningkatkan kecemerlangan.

“Jika dibandingkan dengan UK pastinya kami lebih maju, tetapi perubahan berlaku di Malaysia begitu pantas dan ia membanggakan,” katanya.

Mungkin pendapat beliau itu boleh dikatakan berat sebelah kerana Whittaker kini bertindak sebagai penyelia ICT di sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur. Usah bandingkan kemudahan antara kedua-dua negara, sebagai rakyat Malaysia, kita patut berbangga selepas 50 tahun bebas dijajah, negara mampu bangun dengan pantas untuk berada hampir sebaris dengan UK dalam bidang ICT.

Whittaker berkata, kaedah pengajaran dan pembelajaran di Malaysia memerlukan perubahan mengikut keperluan industri sejagat.

“Ia perlu menjurus kepada usaha melahirkan pelajar cemerlang seimbang dengan daya pemikir dan tidak tertumpu kepada sistem peperiksaan semata-mata.

“Aplikasi menerusi penggunaan ICT membantu pelajar berfikiran kritis, sekali gus membawa mereka ke suatu dimensi baru kepada kaedah pembelajaran lebih menyeluruh,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan ke Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, wakil Thailand, berpendapat sasaran Malaysia membestarikan semua 10,000 sekolahnya adalah suatu langkah drastik. Mungkin sukar baginya memastikan semua sekolah berada pada tahap bestari menjelang 2010.

Pengarah Pusat Komputer dan Elektronik Teknologi Suankularbwittayalainonthaburi School Bangkok, Jirat Jamsawang, berkata jika pada peringkat awal kesungguhan itu sudah mencatatkan kejayaan, pastinya pada tempoh berkenaan sebahagian besar sekolah dapat dibestarikan.

Di Thailand, beliau berkata, kerajaan masih belum menyediakan struktur khas sebagai panduan dalam pembentukan sekolah berkonsepkan celik ICT.

Sekolah dilengkapi kemudahan ICT katanya, adalah atas inisiatif pihak pengurusan dengan kerjasama penaja yang terdiri daripada syarikat dimiliki ibu bapa.

“Memandangkan konsep diperkenalkan Malaysia mampu melonjakkan kecemerlangan pendidikan, perlu bagi kami mengguna pakai kerangka berkenaan untuk sekolah di Thailand. Konsep perkongsian ini penting bagi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.

Bagi negara bukan saingan Malaysia, seperti Pakistan, Iran dan Vietnam, tahap kecanggihan sekolah bestari di sini adalah sesuatu yang sungguh menakjubkan.

Masing-masing teruja dengan kecanggihan dan struktur sekolah bestari Malaysia yang dianggapnya sesuatu dilaksanakan atas komitmen tinggi semua pihak termasuk pelaburan besar diperlukan untuk menjayakannya.

Malaysia sebuah negara sedang membangun juga tidak ketinggalan, dengan sumber kewangan terhad, sokongan padu pihak industri terutama swasta terus menjana usaha membestarikan semua sekolahnya.

Kerjasama pintar itu patut dicontohi negara yang sedang membangun kerana ia mempercepatkan proses melestarikan pelajar yang sekali gus membentuk masyarakat celik IT.

Berita Harian

No comments: